NILAI, 20 Ogos 2014 – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang yang mewakili Selangor dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali ke-7 dan Jemputan Nusantara 2014 setelah menewaskan SMKA Dato Hj Abu Hassan Hj Sail mewakili Negeri Sembilan di Pertandingan Akhir yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Memperdebatkan usul “Pengajaran Sejarah di Sekolah Menengah Menggalakkan”, SMKA Maahad Hamidiah bertindak sebagai Kerajaan membariskan Aiman Arif Adnan, Jihad Muhamad Fuad, Anis Farhana Amran dan Nurul Basyirah Nurul Amali sebagai pendebat membawa pulang Piala Pusingan Naib Canselor USIM, Wang Tunai RM 2,000.00, Piala Iringan Sekolah dan Pendebat serta Sijil Penghargaan manakala SMKA Dato Hj Abu Hassan Hj Sail sebagai Pembangkang muncul Naib Johan menerima Piala Iringan Sekolah dan Pendebat, Wang Tunai RM 1,000.00 dan Sijil Penghargaan.

Saudari Anis Farhana Amran, pelajar SMKA Maahad Hamidiah pula dipilih sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 500.00. Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Profesor. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM mewakili Naib Canselor USIM bersama Tuan Haji Wan Ramdzan Wan Mamat, Timbalan Pengarah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pertandingan debat ini merupakan platform terbaik untuk melatih keupayaan para pelajar berfikir secara kritis dan analitis terhadap pelbagai isu semasa. Ini menjadikan mereka juga mampu mengusai dan berkomunikasi dalam Bahasa Arab dengan baik dan ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan melalui program Tahfiz Model Ulul Albab yang dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu” ucap Tuan Hj Wan Ramdzan Wan Mamat.

Pertandingan ini merupakan program kebitaraan (niche area) BPI yang telah dianjurkan bersama USIM sejak tahun 2008 lagi . Sebanyak 46 buah sekolah menengah seluruh negara menyertainya pada tahun ini yang terdiri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih.

Dengan hasrat murni untuk menyemarakkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Arab di kalangan murid sekolah menengah, penganjurannya saban tahun memperlihatkan penyertaan sekolah bersama teknik dan kualiti pendebat yang semakin cemerlang.

Pada 2012, kategori Jemputan Nusantara diwujudkan dan tahun ini sebanyak 13 buah sekolah menyertai antaranya Kolej Islam Sultan Alam Shah (Malaysia); Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang, Sumatera Barat dan Pondok Modern Darussalam Gontor Putri (Indonesia); Madrasah Aljunied Al Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah (Singapura); Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (Brunei); dan Chariyatham Suksa Foundation School, Songkhla (Thailand).

Bagi kategori Jemputan Nusantara, Pondok Modern Darussalam Gontor Putri, Ngawi yang mewakili Indonesia berjaya muncul johan menewaskan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang mewakili Malaysia.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204