AYER KEROH, 12 Mac 2014  – Tidak memiliki latar-belakang pengajian dalam seni persembahan atau perfileman tidak menjadi penghalang kepada sekumpulan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari pelbagai fakulti bergabung idea kreatif mereka untuk menghasilkan sebuah video menarik berkaitan Disleksia.

Video pendek berdurasi 3.04 minit yang berjudul “Origami” terbitan kumpulan mereka yang dinamakan Light Motion Production telah dihasilkan khusus bagi menyertai Pertandingan Dyslexia Awareness : Viral Video Competition anjuran Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Persatuan Dyslexia Malaysia.

Pertandingan ini terbuka kepada semua mahasiswa di Malaysia dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai Disleksia. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Ternyata skrip dan olahan jalan cerita yang menarik telah menjadikan video “Origami” terpilih sebagai salah-satu daripada lima finalis untuk mara ke peringkat akhir. Penilaian dibuat berdasarkan pilihan penonton secara online di laman YouTube melalui jumlah ‘Like’ yang diperolehi bagi setiap video yang dipertandingkan. Bagi menentukan para pemenang, ke semua finalis perlu melakukan pembentangan di hadapan para juri profesional dengan menyaksikan Light Motion Production berjaya meraih tempat Ketiga.

“Mendapat tempat Ketiga merupakan satu bonus bagi kami kerana “Origami” adalah satu-satunya video yang bukan dari UTeM berjaya tersenarai sebagai finalis. Syukur Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menyokong kami serta para penonton yang telah sudi menonton dan ‘Like’ video ‘Origami’ di YouTube”.

Kumpulan yang terdiri daripada Fairus Bt Abdul Manaf, Maisarah Bt Mohamad, Jasmi Bin Mohd Zain, Muhammad Nor Amin Jamaluddin, Ahmad Hafiz Bin Mislachuddin, Muhamad Safuan Bin Mohd Fadzil, Muhammad Aiman Bin Mohd Nasaruddin dan Zainal Hakim Bin Zakaria juga telah membanggakan USIM sebelum ini apabila Filem Pendek ‘Dompet’ terbitan mereka berjaya merangkul Anugerah Video/Filem Paling Popular di Majlis Anugerah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) anjuran FINAS pada hujung tahun lalu.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm