Bandar Baru Nilai, 5 Julai 2010 – Seramai 1528 pelajar baru Sarjana Muda telah mendaftar di kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi sesi pengajian akademik 2010/2011. Pendaftaran pelajar baru telah diadakan pada 3 Julai yang lalu bertempat di Stadium Tertutup Nilai
Acara kemuncak untuk pelajar baru adalah Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar pelajar baru yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
”Mahasiswa perlu bersedia lebih awal dalam menghadapi era globalisasi dan liberasi yang merupakan zaman mencabar yang perlu dihadapi oleh mahasiswa sama ada semasa berada di Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) mahupun di alam pekerjaan”, ucap beliau di Majlis Amanat dan Lafaz ikrar pelajar baru.
”Sikap hormat-menghormati diantara sesama mahasiswa, kakitangan Universiti, kepimpinan negara dan masyarakat perlu diperkukuh selaras dengan hasrat menjadikan budaya pencapaian di kalangan mahasiswa dapat diterap dan disumbangkan kepada rakyat tambah beliau lagi.
YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turut mengumumkan pemberian wakaf sebanyak RM100,000 untuk tabung pengantarabangsaan mahasiswa USIM.
Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru Sarjana Muda Sesi 2010/2011 turut dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.
”1528 merupakan bilangan yang terbesar pada kali ini meliputi pelbagai bidang samada dalam bidang sains sosial, sains dan teknologi mahupun bidang perubatan dan pergigian”, kata Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda semasa menyampaikan ucapan aluan di Majlis Amanat dan Lafaz ikrar Pelajar Baru Sarjana Muda sesi 2010/2011.
”Tiga perkara yang sering menjadi penghalang kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian adalah takut menghadapi cabaran, tiada keikhlasan dalam berusaha dan mudah patah semangat”, tambah beliau lagi.
”Perkara-perkara tersebut haruslah ditangani dari awal pengajian dan menanam azam serta tekad agar lahir semangat dan dorongan dalaman untuk terus berusaha sehingga berjaya”, tambah beliau mengakhiri ucapan pada petang itu.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028