NILAI –  Usaha memacu kecemerlangan pendidikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) perlu diteruskan demi mencapai matlamat melahirkan insan berkualiti.

Naib Canselor USIM yang mengakhiri perkhidmatannya semalam, Profesor Dato’  Dr. Muhamad Muda berkata, modal insan berkualiti merupakan perjuangan yang perlu digalas oleh USIM bagi memastikan keperluan negara dapat dipenuhi.

“USIM ditubuhkan oleh kerajaan dengan mempunyai identiti dan keunikan yang tersendiri. Sudah pasti roh ini akan terus dipertahan dan dikekalkan oleh setiap warganya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis jamuan perpisahannya selaku Naib Canselor USIM di sini semalam.

Jawatan Muhamad akan diganti oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Asma Ismail berkuatkuasa 1 Disember sehingga 30 November 2015.

Dalam ucapannya, Muhamad turut berterima kasih di atas segala kerjasama yang telah diberikan kepada beliau sepanjang berkhidmat sebagai Naib Canselor di universiti tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah berkata, peranan Muhamad selaku Naib Canselor telah membawa perubahan terutama cara pengurusan yang strategik dan dinamik kepada kakitangan USIM.

“Sokongan jitu beliau kepada program pembangunan mahasiswa berimpak tinggi melalui idea-idea baharu yang diketengahkan pasati akan diteruskan selepas ini,” Katanya.

Sumber: Utusan Malaysia