ARIAKE TOKYO, JEPUN 4 Julai 2014 – Pelancaran Buku “Jom Belajar Bahasa Melayu” terbitan Penerbit USIM telah disempurnakan oleh YBhg Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Tokyo di Tokyo Big Sight, Jepun baru-baru ini.
Projek penerbitan ini adalah hasil kerjasama dengan Takushoku University dan Japan-Malaysia Association (JMA) dengan cetakan pertama adalah sebanyak 1000 nashkah.
Projek penulisan buku ini bermula pada tahun 2012 lagi apabila Penerbit USIM menyertai Tokyo International Book Fair (TIBF) buat kali pertama pada tahun tersebut yang diwakili oleh Puan Hariza Mohd Yusof. Penyertaan dan persembahan dari Penerbit USIM telah menarik minat Puan Faridah Mahamed yang merupakan pensyarah di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) untuk menerbitkan buku kerjasama berkaitan Bahasa Melayu bagi pembaca di Negara Jepun.
Majlis ini diadakan sempena penyertaan kali ketiga Penerbit USIM di TIBF. Pada tahun ini, Malaysia merupakan Negara tema di mana delegasi penerbit-penerbit dari Malaysia berpeluang mempromosikan Malaysia melalui penerbitan buku serta mengetengahkan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Majlis yang penuh bermakna ini diadakan dalam keadaan santai dan dipengacarakan sendiri oleh Encik AraiTakuji serta diikuti ucapan Encik Mohd Khair Ngadiron yang mengucapkan syabas kepada Penerbit USIM kerana menurutnya bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan dan kerjasama penerbitan daripada pihak Jepun kerana mereka amat berhati-hati dan amat mementingkan kualiti.
Turut memeriahkan majlis ini ialah ahli-ahli penerbit Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), staf-staf ITBM, dan tetamu-tetamu lain yang turut serta dalam rombongan ini seperti Penerbit PTS, Pelangi, Perpustakaan Negara Malaysia, Penerbit FIXI, wakil Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, wakil The Association of Japanese University Presses, Unversity Book Store, wakil –wakil media dan pengunjung pesta buku Tokyo tentunya.
Dikemaskini oleh :
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204