Nilai, 23 April 2017 – Mereka kembali bergabung atas satu pentas yang sama, sebelum ini ahli kumpulan UNIC sentiasa bersilih ganti. Ada bekas anggota UNIC yang masih bergiat aktif di dalam bidang seni dan perniagaan seperti Hafiz Hamidun. Manakala Fadzli Aziz membawa haluan sebagai penceramah motivasi, Fitri Haris pula menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran di University Of Nottingham, United Kingdom selama 3 tahun setengah. Fitri sanggup mengambil cuti yang singkat demi menjayakan konsert sulung Reunic.
Konsert ini merupakan sebuah konsert amal bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung pesakit kanser kanak – kanak Hospital Kuala Lumpur. Kebetulan anak salah seorang anggota UNIC turut mengidap penyakit ini. UNIC dan Hafiz Hamidun mencetuskan idea ini bagi mengembalikan nostalgia zaman remaja mereka disamping mambantu mereka yang memerlukan.
“Terima kasih kepada pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membenarkan kami menggunakan dewan yang lengkap dan sesuai untuk konsert ini. USIM dipilih sebagai lokasi penganjuran oleh kerana kawasan ini amat strategik kepada peminat yang berada di sekitar kawasan selatan,” ujar Hafiz Hamidun.
“Walaupun kami sibuk setiap minggu dengan Gema Gegar Vaganza, kami berjanji akan memberikan yang terbaik buat peminat – peminat UNIC. Pastinya lagu – lagu yang kami pilih akan menggamit memori penonton kerana semua lagu hits daripada UNIC akan berkumandang secara langsung diiringi oleh 5 pemuzik professional,” tambahnya.
UNIC juga turut berterima kasih pada pihak pengurusan Firefly yang sudi menaja 2 pasang tiket penerbangan kepada penonton bertuah.
“Syukur kepada Illahi yang telah mempermudahkan segala urusan kami, semuanya berjalan lancar. Kami berterima kasih kepada peminat UNIC kerana sentiasa menyokong kami. Tiket sebanyak 2000 unit habis terjual 3 hari sebelum konsert. Maknanya ‘sold out’ lah. In sha Allah jika projek ini berjaya kami akan cuba meneruskan konsep yang sama ke tempat lain pula,” ujar Bazli Hazwan, Ketua Kumpulan UNIC.
Antara persembahan yang terlibat adalah Fadzli Far East, Simfoni dan persembahan pelajar USIM daripada Cover Nation dan Tabuh Pendeta.
Konsert ini turut dihadiri oleh Naib Canseor USIM, YBhg. Prof.Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Pengerusi Lembaga Universiti, YBhg Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.
Disediakan oleh,
Pusat Kebudayaan USIM