NILAI, 11 Mei 2017 – “Penglibatan kakitangan dalam aktiviti sukan adalah penting dalam membina budaya hidup sihat dan cergas kerana ia mampu memberi impak yang positif kepada universiti bagi tempoh jangka panjang,” demikian ucapan YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad di Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan USIM 2017.

Melalui slogan “USIM CERGAS DAN CERDAS” dan “fitUSIM” sebanyak 17 acara utama dipertandingkan dalam usaha menggalakkan semangat kerja berpasukan dan setiakawan yang dilihat mampu menonjolkan imej USIM sebagai Universiti Awam yang aktif dalam kegiatan sukan dan rekreasi.

Menurut Dato’ Musa, Jawatankuasa FitUSIM telah ditubuhkan bagi merencana aktiviti sukan dan riadah secara tersusun bagi mencapai sasaran 80% warga USIM adalah fit. Beberapa kakitangan USIM telah pun dikenalpasti sebagai Duta fitUSIM dan ikon fitUSIM.

Tambahnya lagi pada tahun lalu, 15 buah PTJ telah menjalani Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK) yang melibatkan 352 orang staff telah hadir. Keputusan yang diperolehi adalah 27 orang memperolehi gred A (Emas-Cemerlang), 82 orang gred B (Perak-Baik) dan 119 orang gred C (Gangsa-Memuaskan). Secara keseluruhannya 65% daripada 352 orang staf yang hadir lulus UKJK.

“Saya juga difahamkan bahawa Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah bertindak proaktif dalam memperkasakan agenda fitUSIM ini dengan menganjurkan The Biggest Loser Challenge individu yang mempunyai BMI yang abnormal. Diharap warga USIM dapat sama-sama mengambil kesempatan untuk lebih mengamalkan gaya hidup sihat dan cerdas,” ujarnya mengakhiri ucapan.

Acara tahunan anjuran bersama Majlis Sukan Kakitangan USIM dan Pusat Sukan ini berlangsung sehingga 24 Mei bakal mempertandingkan sukan bola sepak, bola jaring, ping pong, catur, kerum, badminton, bola tampar, futsal, sepak takraw, olahraga, boling padang, memancing, memanah, dart, petanque, tenis dan berbasikal.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204