Pendahuluan
Setelah 17 tahun penubuhannya sebagai sebuah universiti awam ke-12 negara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya melahirkan sejumlah 14 783 alumni dari pelbagai peringkat dan bidang pengajian. Dari jumlah tersebut, sebanyak 97.3% atau 14 378 orang adalah alumni dalam negara, manakala bakinya 2.7 % peratus atau 405 orang lagi adalah alumni antarabangsa. Mereka kini bertebaran di seluruh pelosok negara menyumbang bakti kepada masyarakat mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing. Tidak ketinggalan, alumni antarabangsa turut kembali meyumbang bakti di negara asal masing-masing berbekal imu dan kemahiran berguna yang diperolehi di USIM.
Sememangnya alumni adalah aset penting negara yang akan membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang. Justeru, dalam mendepani era globalisasi yang serba mencabar ini sudah tentu para alumni perlu melengkapkan diri dengan persediaan secukupnya. Sebagai contoh, para alumni perlu berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi, menguasai pelbagai bahasa dan keupayaan berkomunikasi dengan berkesan serta celik teknologi, menghayati nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan, dan mampu untuk memberikan sumbangbakti kepadamasyarakat dan negara. Tidak ketinggalan alumni USIM sudah ramai yang kini mengisi jawatan-jawatan penting di agensi-agensi kerajaan dan swasta turut berperanan untuk sama-sama membantu melestarikan pembangunan negara.
Dalam konteks sumbangan alumni USIM kepada alma mater atau universiti tempat mereka belajar dahulu, tidak dapat dinafikan mereka memainkan peranan dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada USIM bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan dan kelestariannya. Untuk tujuan tersebut, penubuhan Pusat Alumni dan Kerjaya USIM dilihat dapat membantu dalam mewujudkan saluran dan platform yang mempermudahkan hubungan yang erat di antara alumni dengan pelajar dan universiti. Setiap alumni melalui pengalaman daripada zaman belajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru mempunyai potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.
Mentor kerjaya
Senario hari ini memperlihatkan persaingan untuk memasuki bidang kerjaya semakin mencabar berikutan tawaran dan peluang pekerjaan semakin berkurang sedangkan pengeluaran graduan dari institusi pengajian tinggi di Malaysia menjangkau puluhan ribu orang saban tahun. Peluang pekerjaan adalah lebih kritikal dalam sektor pekerjaan tertentu. Bakal-bakal graduan, khususnya pelajar-pelajar di tahun akhir harus bersedia dan melengkapkan diri serta memikirkan secara lebih serius mengenai soal kerjaya mereka. Di sinilah alumni USIM, khususnya yang sudah berkerjaya, dapat berperanan dengan memberi khidmat mentoring tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada di dalam industri dan membuka ‘laluan’ bagi pelajar diterima masuk sama ada untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja di institusi di mana alumni berada. Alumni boleh menjadi panel rujukan kepada fakulti yang berkenaan bagi menyediakan keperluan pelajar dan graduan untuk menempatkan diri di bidang kerjaya tertentu. Kurikulum pengajian di universiti boleh ditambahbaik supaya lebih mantapagar dapat memenuhi aspirasi kerjaya yang berkaitan.
Ikon dan Ispirasi
Terdapat di kalangan alumni USIM yang telah mencipta kejayaan dalam bidang keusahawanan, mempunyai rangkaian perniagaan sendiri, menjadi selebriti dan pembaca beriita TV dan pegawai-pegawai tinggi di jabatan-jabatan kerajaan. Alumni ini adalah ikon yang dapat menjadi contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar. Dengan kembalinya alumni semula ke universiti untuk membantu, mereka membawa bersama kredibiliti dan justifikasi sebagai sebahagian daripada universiti yang berjaya setelah bernafas dalam udara yang sama dan melalui cabaran yang serupa yang dilalui oleh pelajar-pelajarnya.
Memandangkan para alumni ini juga pernah melalui proses pengajian sebagaimana pelajar-pelajar sekarang lalui, justeru perkongsian pengalaman yang oleh alumni dengan pelajar sama ada dalam soal pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya adalah penting dan dapat diterima dengan lebih baik sebagai panduan dan dijadikan inspirasi oleh pelajar. Dengan cara tersebut juga alumni dapat membantu memperkukuhkan lagi keyakinan, menyalurkan semangat dan menyemai budaya seperti mana hasrat yang universiti ingin sampaikan kepada generasi pelajarnya.
Sumbangan Wakaf dan Dana
Seterusnya, sumbangan dana sama ada dalam bentuk wakaf, zakat dan sebagainya adalah antara bentuk sumbangan yang boleh diberikan oleh para alumni kepada USIM. Para alumni terutamanya daripada generasi-generasi terawal yang merupakan generasi yang lebih stabil daripada sudut ekonomi berupaya untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar-pelajar yang miskin di universiti. Kini terdapat lebih kurang 28.6% daripada keseluruhan lebih 12 000 orang pelajar USIM yang pendapatan keluarga mereka adalah di bawah RM 3000 sebulan. Justeru, sumbangan dari alumni yang dahulunya pernah melalui pengalaman sebagai pelajar dan kini telah berjaya dalam kerjaya, dapat meringankan bebanan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Andaikata terdapat 10000 alumni USIM yang menyumbang serendah RM 5 setiap bulan secara konsisten, maka RM 50000 dapat dikumpulkan setiap bulan sebagai sumbangan dari alumni. Jumlah ini amat bermakna dalam membantu kepada kelangsungan perjuangan hidup yang lebih baik bagi pelajar-pelajar tersebut. Kejayaan mereka kelak akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga masing-masing.
Untuk tujuan penyaluran dana tersebut, Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) USIM dan Pusat Alumni dan Kerjaya USIM boleh menjadi pengantara dan pemudahcara yang boleh membantu para alumni menyumbang dana dan wakaf kepada universiti. Pusat Alumni dan persatuan alumni yang aktif dan berdaftar boleh merangsang pengumpulan dana amanah yang bertujuan untuk menubuhkan biasiswa, menyokong aktiviti pelajar, program kebudayaan dan ekspedisi persatuan dan kelab universiti, membantu penyediaan prasarana untuk pelajar daripada golongan kurang upaya (OKU) dan menyokong penambahbaikan yang inovatif di universiti.
Amalan menyumbang dana wakaf sebenarnya sudah menjadi kebiasaan bagi universiti-universiti tersohor dunia. Contohnya Universiti Harvard di Amerika Syarikat dan Universiti Al Azhar di Mesir adalah antara contoh universiti terkemuka dunia yang mempunyai jumlah dana amanah di antara yang terbesar di dunia yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh alumni. Dana wakaf ini membolehkan universiti-universiti berkenaan mempunyai kemampuan kewangan yang mandiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Selain itu, dana wakaf ini juga telah mengupayakan penganjuran program-program terkemuka, penemuan penyelidikan saintifik dan melahirkan beratus-ratus profesor dalam pelbagai kepakaran akademik.
Menyumbang kepakaran
Selain itu, alumni juga boleh menyumbang kepakaran mereka dalam bidang yang berkaitan dengan profesion mereka bagi membangunkan program-program pengajian baru di universiti. Kehadiran semula alumni sebagai ke USIM samada sebagai ahli lembaga pengarah universiti, pensyarah jemputan, ahli jawatankuasa penasihat fakulti atau pusat tanggungjawab (PTj), pakar-pakar industri dan rakan kongsi projek usahasama dengan universiti akan menyambung kembali ‘perjuangan’ mereka untuk menjayakan pembangunan alma mater meskipun sudah lama meninggalkan alam pengajian di USIM.
Dalam bidang penyelidikan industri dan inovasi, alumni boleh membuka pintu bagi universiti untuk masuk kepada rangkaian industri mereka sama ada di dalam negara mahupun di luar negara dalam aspek jalinan kerjasama dan perkongsian pintar. Ini memberi peluang kepada universiti untuk memakmurkan bidang industri tertentu melalui aplikasi teori yang telah dianalisa hasil penyelidikan-penyelidikan para penyelidik USIM dan diuji bersama-sama dengan pakar-pakar industri yang lain. Kejayaan pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) ini akan meningkatkan lagi kapasiti dan reputasi universiti dengan signifikan di persada nasional dan antarabangsa.
Meningkatkan Imej dan Reputasi Universiti
Alumni USIM, biarpun telah lama meninggalkan alam pengajian di USIM, mereka tetap membawa nama USIM kerana ijazah mereka diperlohi di USIM dan akan dilihat dan dinilai oleh para majikan dan institusi tempat mereka bekerja. Prestasi kerja yang berkualiti hasil didikan di bawah konsep naqli-aqli di USIM pastinya akan menambahkan keyakinan pihak industri untuk mengambil alumni USIM sebagai pekerja mereka pada masa-masa akan datang. Pandangan dan kenyataan positif yang alumni berikan berkaitan dengan universitinya yang disalurkan sama ada melalui media, media sosial atau forum tertentu adalah merupakan sokongan kepada reputasi universiti tersebut. Ianya berupaya mempengaruhi masyarakat kerana persepsi umum bahawa alumni lebih memahami cabaran institusi di universiti tersebut melalui beberapa tahun tempoh kehidupan yang telah dijalani di sana.
Selain itu, alumni USIM yang berkhidmat dengan jayanya dalam pelbagai sektor sama ada di dalam negara mahupun di luar negara telah mengesahkan kualiti dan keberkesanan program dan kurikulum pengajian, penyelidikan dan komuniti universiti tersebut. Penerimaan mereka di dalam pasaran kerjaya mengesahkan nilai ‘kebolehpasaran’ (marketability) meraka hasil penerapan nilai ilmu semasa di USIM. Justeru, semakin berpengaruh kedudukan alumni tersebut dalam kerjaya dan kehidupannya semakin tinggi pengiktirafan dan keyakinan masyarakat terhadap universiti yang dikaitkan dengan mereka.
Membantu Proses Enrolmen Pelajar
Lazimnya, sebelum seseorang memilih sesebuah universiti untuk menyambung pengajian, alumni universiti berkenaan akan dilihat sebagai kayu ukur sejauh mana kesesuaian universiti tersebut sebagai destinasi pendidikan. Dalam konteks USIM, para alumni USIM boleh berperanan untuk menjadi jurucakap serta membantu mempromosikan universiti kepada masyarakat luar agar ia menjadi destinasi impaian untuk mereka melanjutkan pengajian. Para alumni boleh menggalakkan pelajar terutama daripada kalangan keluarga dan rakan-rakan masing-masing untuk mempertimbangkan USIM sebagai pembekal pendidikan mereka.
Alumni boleh menunjukkan kepada pelajar bagaimana seterusnya untuk menceburi bidang kerjaya apabila tamat pengajian nanti. Pengalaman pengajian di USIM dan kejayaan alumni dalam pekerjaan adalah hasil yang nyata yang yang boleh dikongsi dan boleh menjadi faktor penentu bagi pelajar dalam membuat keputusan tersebut. Untuk tujuan sama, sukarelawan alumni boleh menjadi duta yang terlibat secara aktif untuk membantu dalam mengukuhkan usaha pengambilan pelajar yang dilaksanakan oleh jabatan yang terlibat dengan kemasukan pelajar ke universiti. Usaha tersebut boleh digerakkan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bergantung kepada potensi dan kedudukan alumni.
Penutup
Sememangnya peranan alumni adalah penting dalam pembangunan sesebuah universiti. Tidak terkecuali alumni USIM yang merupakan aset penting yang mempunyai peranan bersar kepada kemajuan dan kelestarian universiti dan negara. Setiap alumni boleh memberikan pelbagai sumbangan di atas kapasiti dan berdasarkan kepakaran masing-masing yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, graduan, alumni, universiti dan masyarakat.
Pihak universiti sentiasa mengalu-alukan pandangan dari alumni untuk turut sama berkongsi idea untuk pembangunan universiti dan cadangan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi universiti. Pandangan dan maklumbalas seperti ini adalah amat berharga bagi membantu universiti mencapai visi dan matlamat masa depan universiti. Sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti, alumni merupakan aset kepada universiti dan sumbangan serta penglibatan mereka berupaya menaikkan reputasi sesebuah universiti di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Sesungguhnya alumni yang berjaya merupakan modal insan penting dan utama bagi perpaduan dan pembangunan masyarakat serta penyumbang utama bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang akhirnya dapat membawa manfaat yang bermakna kepada agama, bangsa, negara dan ummah seluruhnya.