SEREMBAN – Kumpulan ATRA Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni, Pusat Kebudayaan USIM muncul Naib Johan Festival Teater Negeri Sembilan (FTNS) yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKNNS) baru-baru ini.
Mereka turut memenangi 4 anugerah yang dipertandingkan iaitu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Sinografi Terbaik, Penata Cahaya Terbaik dan Penata Audio Terbaik.
Pada kali ini, ATRA mementaskan karya Seni Bayan yang bertajuk Ba’da As Subhi bermaksud Sesudah Subuh. Naskhah tersebut dipilih kerana mempunyai mesej yang baik untuk disampaikan kepada masyarakat. Konflik timbul apabila empat orang banduan akhir cuba melupakan kematian, ketakutan, keresahan dan kegelisahan mereka apabila ada banduan dihukum gantung sampai mati pada setiap kali sesudah subuh. Bagi menghilangkan perasaan takut, mereka telah mencipta sejenis permainan yang dinamakan “Raja Hitam”. Namun hakikat sebenar mereka harus terima bahawa setiap daripada mereka tetap akan menemui Pencipta pada suatu hari nanti sesudah subuh.
Fatin Nur Aqilah Isa Pengarah teater yang juga pelajar tahun 2, jurusan komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan berkata hasil ketekunan mengadakan latihan selama sebulan dan menempuhi pelbagai cabaran memberi pengalaman baharu memandangkan ini adalah buah tangan pertama dan tanggungjawab ini amat besar untuk digalas.
Manakala menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Ismail Ahmed, penyertaan USIM pada festival ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk meningkatkan skil dalam kerja produksi dan kejayaan mereka membawa pulang lima anugerah merupakan satu bonus dan penyuntik semangat untuk terus berkarya dan berdakwah khususnya dalam seni teater.
”Kumpulan ATRA juga mendapat bimbingan daripada Pengajar Seni Budaya USIM Aloeng Silalahi yang juga aktivitis teater tanah air. Pada kali USIM ini juga mendapatkan khidmat pakar nasihat daripada Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang bagi menggambarkan realiti kehidupan banduan akhir dalam sel tersebut. ATRA juga akan mementaskan sekali lagi naskhah tersebut pada penghujung disember ini sebagai untuk tontonan warga USIM.
Penyampaian hadiah kepada pemenang FTNS telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Masri Razali dengan diiringi Pengarah Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negeri Sembilan Mohd Radzi Omar sebagai penganjur FTNS.
FTNS pada kali ini disertai oleh Sembilan kumpulan dan diadili oleh juri berpengalaman iaitu Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Halimi Mohd Noor yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan aktivis Abdul Munir Mohd Isa (Badrul Munir) yang telah terlibat dalam bidang teater sejak 70-an.
Sementara itu, kumpulan Kaset Negeri Sembilan muncul juara dengan karya berjudul Tuil naskhah pengarahnya Noor Idlah Abdul Halim. Kumpulan ini turut memenangi 3 anugerah utama iaitu Pelakon lelaki Terbaik dimenangi oleh Muhamad Khairil Kamarudin, Pelakon Wanita Terbaik disandang oleh Syaidatul Amanina dan juga Noor Idlah Abdul Halim sebagai Pengarah Terbaik.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan