Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. AzizDekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Bidang muamalat secara umumnya dan kewangan Islam secara khususnya telah berkembang pesat sejajar dengan halatuju dan inisiatif yang telah dimainkan oleh pihak kerajaan yang melibatkan pelbagai usaha dari pihak institusi pengajian tinggi, Bank Negara Malaysia serta institusI-institusi perbankan dan kewangan Islam di negara ini. Perkembangan pesat ini bukan sahaja membawa manfaat kepada umat Islam bahkan kepada bukan Islam di dalam dan luar negara. Malah, kemajuan kewangan Islam di Malaysia telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dari luar negara.

Era persaingan global yang semakin sengit dalam industri perbankan dan kewangan Islam ini juga turut mendorong institusi perbankan dan kewangan Islam untuk terus meneroka dan mencari bakat-bakat baharu bagi terus kekal relevan dan utuh dengan pesaing-pesaing dalam industri ini. Dalam persekitaran persaingan yang mencabar inilah bakat atau modal insan adalah amat penting untuk dimiliki oleh setiap organisasi terutama dalam industri perbankan dan kewangan Islam yang bersifat global, terbuka dan terikat dengan peraturan dan pematuhan yang ketat dari aspek Syariah. Namun, persoalan yang sering menghantui pihak pengurusan dan pengamal industri perbankan dan kewangan Islam adalah kesukaran untuk mendapatkan bakat yang bersesuaian dan mempunyai kecekapan atau competency tinggi yang dapat memenuhi keperluan semasa dalam perbankan dan kewangan Islam.

Tidak dapat dinafikan di negara ini, kita mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi sama ada institusi awam atau swasta yang menawarkan pelbagai program dan kursus yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam merentasi dari peringkat sijil, diploma, ijazah pertama sehinggalah peringkat doktor falsafah. Namun, persoalan yang patut kita sama-sama terokai adalah adakah bakat-bakat baharu yang sedang dibina tersebut dapat memenuhi keperluan di dalam industri perbankan dan kewangan Islam seiring dengan perkembangan pantas di dunia termasuklah kemajuan dalam revolusi industri 4.0.

Pastinya, perubahan teknologi sebegini memerlukan kemahiran, bakat dan keupayaan baharu dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Seiring dengan perkembangan pesat bidang perbankan dan kewangan Islam ini dan bagi memenuhi keperluan guna tenaga pakar dalam industri perbankan dan kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menawarkan program baharu iaitu Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam bagi sama-sama menyahut usaha murni ini. Selaku sebuah institusi pengajian tinggi yang berteraskan pengajian Islam dan mempromosikan integrasi ilmu naqli dan aqli, USIM telah memulakan penawaran proram pengajian peringkat ijazah pertama ini bagi membina bakat dalam bidang kewangan Islam yang amat diperlukan di dalam industri semasa.

Pada tahun ini, FEM buat julung kalinya akan meraikan graduan sulung bagi program Perbankan dan Kewangan Islam yang telah tamat pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-17 Universiti Sains Islam Malaysia bermula pada 26 hingga 28 November 2019. Program pengajian Perbankan dan Kewangan Islam ini telah dinilai secara komprehensif menerusi lawatan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA sejak awal tahun 2019 dan berdasarkan rekod Kebolehpasaran Graduan atau Graduate Employability (GE) terkini bagi program ini, lebih 90% graduan program ini telah mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian di pelbagai institusi perbankan dan kewangan Islam dan institusi-institusi berkaitan di dalam negara.

Kejayaan ini didorong oleh usaha berterusan pihak fakulti dan USIM dalam memastikan bakal graduan dibekalkan dengan ilmu yang lengkap dan mencukupi seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa bagi kemahiran dan pengetahuan dalam industri yang antara lain melibatkan perkembangan pesat dalam teknologi kewangan atau FinTech. Pelbagai usahasama dengan pihak industri telah dan bakal dilaksanakan bagi memastikan graduan yang dilahirkan nanti memenuhi citarasa dan kehendak industri kewangan Islam semasa. Ini juga didorong oleh keupayaan para tenaga pengajar dan pensyarah di FEM yang memiliki kepakaran dalam bidang perbankan dan kewangan Islam dan ada antara mereka merupakan penasihat Syariah di bank-bank Islam di samping berperanan dalam aspek penasihatan dan perundingan dengan pihak-pihak industri dalam bidang tersebut.

Para pensyarah di FEM juga merupakan penyelidik yang aktif dalam bidang ini dan penerbitan mereka tercatat dalam senarai sepuluh teratas atau Top 10 bagi penerbitan artikel dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi dalam bidang perbankan dan kewangan Islam di dunia. Usaha berterusan para pensyarah dan penyelidik FEM amat membantu bagi memastikan setiap teori dan aplikasi yang diterapkan kepada para pelajar adalah yang terkini dan relevan di industri. Di samping itu, gabungan yang mantap para pensyarah berlatarbelakang konvensional dan Islam memungkinkan pelbagai solusi terkini berjaya dicadangkan bagi diaplikasikan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam dalam dan luar negara.

Justeru, bagi memastikan bakal graduan yang dihasilkan nanti mampu membantu industri perbankan dan kewangan Islam, penulis merasakan perlunya usaha digembeleng secara padu oleh semua pihak bagi menjadikan dan memastikan bakat-bakat baharu yang lebih kompetitif dapat dibentuk di negara ini. Sumbangan dan peranan semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha ini dapat diteruskan terutama peranan penting ahli akademik di pusat pengajian tinggi seperti USIM. Usaha pengembelingan ini meliputi sumbangan idea, kepakaran, kemahiran, dana dan lain-lain oleh semua pihak dari masa ke semasa. Dengan matlamat yang sama yang disumbangkan oleh pelbagai pihak, penulis yakin industri perbankan dan kewangan Islam dapat terus bersaing dalam dunia persaingan kewangan global dan mampan dari sebarang risiko dan cabaran yang bakal mendatang.

Para graduan yang menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-17 USIM ini diharapkan dapat menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi di USIM untuk terus membantu industri perbankan dan kewangan Islam ke tahap yang lebih membanggakan dan seterusnya meneroka dan merebut peluang-peluang baharu yang terhidang di industri untuk menjadi pengamal dan pemain utama yang dapat menyumbang kepada perkembangan yang lebih positif dalam bidang ini.

Tahniah kepada semua graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam. Semoga dapat menjadi alumni FEM dan USIM yang boleh terus dibanggakan pada masa hadapan.