Nilai, 15 Februari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini merasmikan penutupan program Pendigitalan Kampus Siri 1 (Kampus Tanpa Tunai) yang bermula sejak 1 Oktober 2022 sehingga 31 Disember 2022 yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Payments Network Sdn. Bhd., sebuah Institusi Pembayaran Nasional yang mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bertaraf dunia disamping perkhidmatan e-pembayaran seperti MyDebit, DuitNow QR, FPX, JomPay, Direct Debit dan pelbagai platform e-pembayaran lain.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, ”Program kampus tanpa tunai ini merupakan galakan kepada pemegang taruh yang terlibat dengan universiti untuk mendaftar penerimaan Tanpa Tunai di bank masing-masing dan merupakan salah satu inisiatif utama dalam Rangka Tindakan Universiti Pintar (Smart University Blueprint) USIM untuk tempoh 2018 sehingga 2025. Selaras dengan pelaksanaan blueprint tersebut, 5 kluster utama telah diwujudkan bagi merancakkan smart activity dalam kampus dan inisiatif kampus tanpa tunai ini merupakan projek dibawah kluster smart infrastructure yang mensasarkan penggunaan tanpa tunai secara keseluruhan dalam universiti”.

”Melalui inisiatif ini juga, satu jawatankuasa telah diwujudkan bagi menyelaras, memantau serta memperkasakan kemudahan dan kesedaran tanpa tunai di kampus dan beberapa projek awal juga telah berjalan antaranya e-wallet, e-perolehan dan JomInfaq USIM”, ujarnya.

Sebagai mekanisme pelaksanaan program tanpa tunai yang diadakan bersama Paynet ini, USIM sebagai peserta program perlu mewujudkan sekurang-kurangnya satu kaedah penerimaan tanpa tunai dan membuat dasar bagi mewajibkan kesemua peniaga/vendor untuk mempunyai “cashless point” di premis perniagaan dan memantau aktiviti transaksi bagi memastikan penggunaan “cashless” digunakan secara meluas.

Data transaksi e-pembayaran di seluruh kampus kemudiannya dibekalkan setiap bulan kepada Penganjur sepanjang tempoh program. Peniaga/vendor yang mencatatkan jumlah transaksi e-pembayaran tertinggi dalam tempoh program dan memenuhi Terma dan Syarat tertentu adalah berkelayakan untuk dipilih sebagai pemenang.

Sementara itu, Firdaus Ghani, Pengarah Bahagian Libat Urus Paynet berkata, “Program ini menekankan usaha dan inisiatif pihak Universiti untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membudayakan penerimaan dan penggunaan “cashless” di kalangan warga kampus. Kami dimaklumkan bahawa USIM adalah antara Universiti yang aktif dalam mengangkat agenda membudayakan penggunaan “cashless” ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti Kempen Derma Infaq dan Wakaf Tanpa Tunai, “Cashless Virtual Run” dan Program Universiti Tanpa Tunai yang melibatkan vendor dan peniaga-peniaga di dalam USIM sendiri”.

“Usaha dan inisiatif ini tidak mungkin dapat di capai jika tiada sokongan dan kerjasama yang kuat dari pelbagai pihak seperti barisan pengurusan Universiti, kakitangan, pihak vendor dan peniaga, seterusnya semua pelajar-pelajar yang belajar di sini”. Tambah beliau lagi.

Majlis yang sama turut menyaksikan Jabatan Perpustakaan USIM menerima hadiah utama berjumlah RM2000.00 kerana berjaya mencatatkan jumlah transaksi tertinggi penggunaan aplikasi tanpa tunai diikuti oleh Pusat Penerbit yang membawa pulang RM1000.00, Fakulti Pergigian di tempat ketiga dengan RM700, manakala Koperasi USIM dan Jabatan Keselamatan masing-masing menerima hadiah saguhati berjumlah RM300.00.

Hadir sama di majlis penutupan ini adalah Mohd Esa Daud, Pengurus Deposit Wilayah Selatan Bank Islam Malaysia Berhad, pegawai-pegawai kanan Paynet serta pengurusan tertinggi universiti.

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan