TURKIYE, 17 Jun 2023 – Cadangan menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan Latihan (Unit Penyelidikan dan Latihan Az-Zahra’) serta mengembangkan penyebaran dakwah Risalah an-Nur di USIM dan dalam kalangan masyarakat sekitar menjadi antara inti pati kandungan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Hayrat Foundation, Turkiye.
Pada majlis ringkas menandatangani MoU yang berlangsung di Ibu Pejabat Hayrat Foundation yang terletak di Zeytinburnu, Turkiye itu, USIM telah diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, manakala Hayrat Foundation diwakili oleh Said Yavuz, Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Naib Presiden Hayrat Foundation, Turkiye.
Selain penubuhan Unit Penyelidikan dan Latihan Az-Zahra’ dan pengembangan aktiviti sebaran dakwah Risalah An-Nur, MoU tersebut turut melibatkan cadangan penawaran program-program dan kelas Risalah an-Nur secara percuma mengikut permintaan, konsultasi kepada staf dan pelajar USIM yang ingin melakukan program mobiliti ke Turki, selain menjadi medium pemudah cara di antara pelajar USIM yang ingin menjalankan semester pendek di Turki dan bagi pelajar Turki yang ingin menyambung pengajian di USIM selain kerjasama dalam kajian penyelidikan atau penerbitan di antara Hayrat Malaysia dan USIM.
Sebagai rekod, Hayrat Foundation Turkiye turut mempunyai cawangannya di Malaysia (Hayrat Malaysia) yang telah ditubuhkan sejak September 2012 yang didedikasikan untuk aktiviti bantuan kemanusiaan, perpaduan, budaya, pendidikan dan kesihatan di dalam dan di luar negara.
Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan