NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Buku al-Rasm al-Ishari yang merupakan sumbangan kepada komuniti OKU Pekak bertujuan untuk meningkatkan kecekapan asas mereka dalam menggunakan kaedah Tilawah dengan bantuan Aplikasi Quran Isyarat.

Kewujudan Aplikasi Quran Isyarat pertama dunia ini telah sempurna dilancarkan pada tahun 2022 dan telah mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records. Aplikasi ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Tilawah dan Terjemahan dan ia boleh diakses secara percuma melalui platform Android dan IOS.

Sementara itu, Prof. Madya Dr Haji Norakyairee Mohd Raus Pengarah, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM berkata, buku ini antara hasil kajian geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) di bawah dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia bertujuan meneroka font isyarat Kod Tangan Quran bagi membantu komuniti OKU Pekak membaca Quran berasaskan kekuatan visual dan potensi pembelajaran mereka.

Tambahnya lagi, kaedah Tilawah yang unik dengan menggunakan isyarat Kod Tangan Quran dan Transliterasi Makhraj ini boleh diakses oleh OKU Pekak di seluruh dunia. Sementara itu, inovasi inklusif yang melibatkan Terjemahan dengan sokongan video Juru Bahasa Isyarat Malaysia (JBIM) dan teks terjemahan yang mesra kepada OKU Pekak disampaikan dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), yang hanya dapat difahami oleh komuniti OKU Pekak di Malaysia sahaja.

Menurut pandangan Jumhur Fuqaha’, penggunaan isyarat dianggap sah dan boleh menggantikan lafaz bersuara dalam menentukan hukum-hukum tertentu.

Dengan merujuk kepada pengiktirafan ini, keistimewaan Tilawah untuk komuniti OKU Pekak dapat didefinisikan sebagai cara membaca Quran tanpa menggunakan suara, dengan melakukan isyarat untuk setiap huruf-huruf Quran (Rasm Uthmani) berdasarkan Kod Tangan Quran yang mewakili setiap huruf tersebut. Penggunaan isyarat Kod Tangan Quran ini telah diselaraskan dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (Bil. 108/2.2023) semasa mesyuarat pada 27-29 Julai 2023.

Penerbitan buku ini diharap mampu dimanfaatkan oleh kumpulan sasar yang terdiri daripada komuniti OKU Pekak, Ibu Bapa, Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) KPM, Bahagian Pendidikan, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain agensi yang berkeperluan.

Turut merakamkan penghargaan atas dokongan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dalam menjayakan kajian dan penerbitan ini.