NILAI – “Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang” itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Muhammad Syukri Rostam ketika memberi ucapan wakil pelajar Fakulti Bahasa dan Utama (FPBU) di Majlis Konvokesyen ke-21 USIM sidang ketiga pada 13 Disember 2023.
Ayahnya merupakan seorang buruh kasar dan ibunya pula merupakan seorang suri rumah, berusaha keras membesarkan anak anak demi melihat mereka berjaya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Arab dan Komunikasi dengan kepujian ini tidak lekang menzahirkan perasaan gembira dan sebak apabila di tanya mengenai matlamat terbesar dalam hidupnya iaitu ingin membawa redha dan doa ibu dan ayahnya ke mana Sahaja beliau berada, “tanpa mereka tiadalah saya berdiri di atas pentas yang gah ini. Senyuman mereka mungkin belum mampu untuk saya balas hari demi hari, untuk mak dan abah, hadiah ini buatmu”, ujarnya.
Anak kedua dari 3 beradik ini berjaya peroleh Anugerah Dekan 8 semester berturut-turut dengan sentiasa berpegang dengan kata-kata “kasihilah guru-guru kalian dan kasihilah ilmu itu sendiri, junjunglah ilmu itu kerana dengan berilmu akan memberi pedoman buat kita di masa akan datang dengan izin Allah”.
Katanya lagi, beliau berhasrat untuk menjadi seorang guru dan merancang untuk menyambung pengajian Diploma Pascasiswazah Pendidikan selepas ini.
“Harapan saya kepada semua graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jadilah sebuah permata yang mampu menggilap diri sendiri di persada dunia. Sentiasalah berusaha untuk menuntut ilmu kerana dengannya kita akan belajar erti kehidupan sebenar”, ujar Syukri.
Nurul Fathihah Shaipol Azman
StraComm Clique
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan