SEREMBAN 29 Okt. – Seramai 45 pengawal keselamatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tasik di sekitar kawasan universiti berkenaan menjelang Pesta Konvo yang akan berlangsung dari 1 hingga 4 Disember ini.

Ketua Bahagian Keselamatan USIM, Kapt. (B) Abdul Wahab Mat Zin berkata, program tersebut merupakan persediaan awal pihaknya sebelum menjalankan aktiviti gotong-royong perdana yang dijangka selepas Aidiladha nanti.

“Ini merupakan salah satu inisiatif pihak bahagian keselamatan USIM yang mana kita tidak mahu dilihat hanya terikat pada tugas hakiki semata-mata, tetapi turut berperanan membantu pihak universiti dalam segala aspek.

“Pada masa sama, kita melihat tasik yang berkeluasan hampir 10 hektar ini mempunyai daya tarikan dan sesuai bagi menjalani pelbagai aktiviti sukan air dan memancing,” katanya di sini, hari ini.

Tasik berkenaan dijangka dibuka kepada umum pada Pertandingan Memancing Terbuka sempena Pesta Konvokesyen Ke-9 anjuran USIM dan Kumpulan Utusan pada 4 Disember ini.

Abdul Wahab menjelaskan, tasik mempunyai potensi tersendiri yang mana ia bukan sahaja luas dari segi saiznya, malah ia juga mampu dikomersialkan bukan sahaja pada warga USIM semata-mata, malah boleh menarik orang ramai untuk mengunjunginya.

Malah katanya, terdapat pelbagai jenis ikan yang terdapat di kawasan tasik ini termasuklah ikan toman dan tilapia.

“Kita melihat pertandingan memancing yang dianjurkan oleh pihak USIM dan Kumpulan Utusan ini adalah satu langkah yang tepat kerana sudah sampai masanya tasik ini dijadikan sebagai tarikan kepada orang ramai,” katanya.

“Saya yakin bahawa pihak pengurusan universiti mempunyai perancangan mereka untuk menjadikan kawasan ini sebagai lokasi yang sesuai bukan sahaja untuk para pelajar, malah kepada orang ramai beriadah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia