NILAI, 10 Okt. – Masuk tahun yang ke tujuh penganjurannya, Konvensyen Keusahawanan Islam atau lebih sinonim dengan iCEPS buat pertama kalinya diadakan di Dataran Nilai. Program selama 4 hari bermula dari 6 hingga 9 oktober ini telah berjaya menarik seramai 5 ribu pengunjung.

Menurut saudara Zainuddin Darus, pengarah seketeriat pelajar iCEPS7, sambutan pada kali ini amat memberansangkan memandangkan lokasi program yang begitu strategik dan merupakan tempat tumpuan umum.

“Alhamdulillah, iCEPS pada kali ini nampaknya begitu meriah sekali sehinggakan pengunjung yang datang berkunjung tidak putus-putus dari pagi hinggalah ke malam” kata Zainuddin.

Projek mega anjuran mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM dengan kerjasama dari pihak PGUK (Program Gerak Usahawan Kampus) ini merupakan program wajib tahunan dengan elemen keusahawan merupakan aktiviti utama yang dititikberatkan.

Antara aktiviti dan pengisian sepanjang program berlansung adalah Gadget & PC Fair; aneka gerai-gerai pameran dan jualan; Larian Amal “Sayangi Jantung Kita”; Sukan Rakyat; Jom Teh Tarik; Futsal; Pameran & Pertandingan motor Vespa dan banyak lagi. Manakala kemuncak iCEPS7 pula diserikan dengan Konserto Islami; “Kembara Satu Cinta yang menampilkan kumpulan Nasyid Far East dan artis solo nasyid tanah air, Muaz.

Dalam pada itu, majlis perasmian iceps7 telah disempurnakan oleh Y.Bhg Dato’ Syed Amin Al-Jeffri ahli Lembaga Pengarah Universiti, USIM.  Dalam ucapannya, Beliau amat menggalakkan dan mengalu-alukan para graduan dan mahasiswa universiti supaya menjejakkan kaki ke dalam bidang perniagaan seterusnya menjadi usahawan bumiputera yang berjaya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dan ahli-ahli Pengurusan Tertinggi USIM

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027