NILAI, 13 Februari 2018 – Mendepani tahun 2018, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengorak langkah berani dan dinamik untuk menjayakan agenda Kampus Barakah. Justeru itu, untuk terus menggelombangkan agenda barakah di USIM, pada tahun ini Universiti memfokuskan strategi untuk mengutamakan santunan masyarakat dalam konteks memasyarakatkan USIM melalui pendekatan penyelidikan, pengajaran & pembelajaran serta graduan.
Perkara ini menjadi intipati utama yang dihasratkan dalam Amanat 2018 YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM iaitu Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran; Memperkasa Penyelidikan & Inovasi; dan Memperkasa graduan holistik, seimbang dan berkeusahawanan.
“Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran meletakkan strategi di mana USIM bergerak ke arah international (antarabangsa) dengan penerimaan pelajar pelbagai latar belakang serata dunia. USIM dalam fasa baharu dengan memperkenalkan empat polisi pengajaran dan pembelajaran berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli iaitu Mustawaal-Ta’sil (pengayatan), Mustawaal Al- Muqaranah (perbandingan), Mustawaal Al-Takyif (adaptasi) dan Mustawaal Al- Takamul (Integrasi) yang akan diterajui oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)”.
“Dalam konteks Memperkasa Penyelidikan dan Inovasi pula yang diletakkan peranan ini di bawah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bersama pasukannya, USIM menumpukan kepada tiga tema utama iaitu Kelestarian Kemanusiaan dan Alam Sekitar (Sustain Humanity & Environment); Membangunkan Kesejahteraan (Promote Wellbeing); dan Pemerkasaan Komuniti dan Masyarakat (Enrich Communities & Societies).
Ketiga-tiga tema ini akan gembelengkan secara bersama dan terangkum kerana ini adalah salah satu daya kita untuk mencapai hasrat merintis Kampus Barakah. Beberapa kumpulan telah dikenalpasti mengikut tema dan akan ditempatkan dibawah Institut Sains Islam (ISI) yan kini menjadi inkubator kepada beberapa kumpulan penyelidikan yang telah dinilai pencapaiannya supaya kita boleh gerakkan agenda kita dengan lebih jelas”.
“Beberapa agenda untuk mengangkat tema yang kita tetapkan ini sudah bermula, misalnya dalam memperkasa aktiviti penyelidikan dalam membantu keperluan bagi orang kelainan upaya (OKU) akan diterajui kluster kumpulan penyelidikan Ibn Ummi Maktum dan memperkasakan penyelidikan berkaitan penyalahgunaan dadah melalui penubuhan ACREDA Living Lab.
“Melalui penubuhan kumpulan penyelidikan Immersive & Collaborative Technology (Al-Itqan), Islam and Emerging Technology (ImET) dan Cyber Security System (CSS), ia diharap dapat membantu hasrat kementerian dan USIM supaya mengutamakan impak kepada kesejahteraan kualiti kehidupan seharian. Tidak dilupakan, USIM ingin melihat dua Pusat Kecemerlangan (CoE) iaitu Institute of Halal Research and Management (IHRAM) dan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) terus berdaya saing, universiti memberikan insentif RM100,000 kepada IHRAM dan RM50,000 kepada INFAD untuk kedua-dua CoE ini memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan”.
Universiti terus komited Memperkasa Model Graduan Holistik, Seimbang Dan Berkeusahawanan dengan Program Keusahawanan dan Program Gap Year. Program Kuliah Kerja Nyata di mana melibatkan penglibatan pelajar sepenuhnya yang ditempatkan untuk berada di kampung angkat dalam masa sebulan. Program di kampung angkat tersebut akan berlangsung dalam tempoh lima tahun dengan kumpulan pelajar silih berganti akan ditempatkan di kampung berkenaan.
Program keusahawanan pula diperkasakan melalui Projek Agropreneur iaitu kerjasama USIM menerusi Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan beberapa industri lain untuk membangunkan projek ternakan kambing, madu kelulut dan edible garden (tanaman dapur). Universiti juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Produk Pelajar dengan produk pertama yang dipilih adalah Kiub Bunga Kantan yang telah menang dalam pertandingan Usahawan Inovasi Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2017.
Melalui amanat yang dibentangkan ini, untuk terus menggelombangkan elemen kampus barakah, USIM akan memberi fokus kepada penerapan budaya 7i iaitu Budaya Iqra’; Internationalization; Intervensi terhadap revolusi perindustrian; dan Impak terhadap ummah.
Budaya 7i seterusnya adalah Interaksi atau hubungan universiti dengan pelbagai sektor dan peringkat; Insan yang terbina daripada amalan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, budaya iqra’ dan berpandukan qalbu; dan budaya terakhir adalah Integrasi ilmu Naqli dan Aqli,” terang beliau.
Majlis Amanat Tahun 2018 yang bertemakan ‘Gelombang Barakah’ ini dibuat dalam kaedah yang berbeza iaitu lebih santai dan mempunyai interaksi dua hala bersama hadirin yang hadir. Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan kad akses setempat kepada pelawat kejiranan, mentor industri dan pelawat OKU bagi memudahkan akses mereka untuk memasuki kawasan kampus.
Seramai 2000 tetamu terdiri dari pelajar, staf, wakil komuniti sekitar, wakil dari Sekolah Kluster Sekolah Angkat dan rakan industri USIM. Turut diadakan di lobi dewan adalah pameran yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, swasta dan jabatan di USIM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204