NILAI, 27 April : Seramai 106 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Pertandingan Pengaturcaraan dan Multimedia (ATURKREATIF ‘13) bertempat di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM).
Pertandingan anjuran Program Sains Komputer (Keselamatan Dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Program Quran Dengan Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) bertujuan untuk menyediakan platform dan ruang persediaan bagi para pelajar USIM ke pertandingan multimedia interaktif dan pengaturcaraan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pengarah Pertandingan, Saudara Zulfadhly Zakaria berkata, pertandingan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Montaj, Reka Cipta Multimedia dan Pengaturcaraan berjalan dengan lancar mengikut apa yang telah dirancang. Pertandingan ini dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Bachok M.Taib.
Menurut Zulfadhly “USIM memberi peluang kepada pelajarnya untuk menggilap dan mengasah bakat bersesuaian dengan tema pertandingan tersebut iaitu kreativiti, inspirasi dan inovasi. Ini kali ketiga pertandingan ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada pelajar mendalami bidang multimedia” .
Katanya lagi “Di samping itu, pertandingan ini dapat mendedahkan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran teknologi terkini dalam bidang yang berkaitan seperti pengaturcaraan dan multimedia”.
Sementara itu, pemenang bagi kategori Reka Cipta Multimedia dirangkul oleh Kumpulan i-Faqeh yang diketuai Nurul Farihah Abu Bakar, Pelajar Tahun 4 Program Quran Dengan Multimedia, berharap kemenangan mereka dapat memberi inspirasi kepada pelajar junior untuk menyertai pertandingan ini pada masa akan datang.
“Selepas penglibatan kami dalam pertandingan ini, kami berharap orang tidak akan lagi berfikir bahawa Program Quran Dengan Multimedia hanya tertumpu kepada pengajian Al-Quran sahaja malahan lebih menjurus juga ke arah multimedia” ulasnya.
Pertandingan yang bermula tepat jam 9 pagi itu disertai oleh pelajar-pelajar USIM yang mana majoritinya terdiri daripada pelajar Program Quran Dengan Multimedia dan Program Sains Komputer turut dihadiri oleh para pensyarah.
Disediakan oleh :
Ejen Berita USIM (EB Syuna dan EB Ziah)
Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar StraComm