NILAI, 24 Mei 2017 – Keunikan keperibadian baik secara zahir atau dalamannya dikalangan anggota beruniform yang dianggotai oleh mahasiswa-mahasiswi menjadikan mereka boleh memainkan peranan yang baik apabila berhadapan dengan masyarakat luar kampus. Kelebihan yang dimiliki hasil penyertaan dalam badan beruniform menjadikan mereka berbeza daripada pihak (mahasiswa) yang lain.
Perkara ini ditegaskan oleh Penguasa Kanan Bomba I Kehormat Siswa Bomba Bantuan (SBB) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Haizuan Rozali dalam Perhimpunan Badan Beruniform USIM pada rabu pagi.
Perhimpunan yang disertai 500 ahli pelbagai badan beruniform di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM antaranya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) seperti Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Sispa) dan SBB sendiri berlangsung di Dataran Canselori.
“Kehadiran semua ahli badan beruniform ini adalah lambang solidariti bersama dalam mengangkat disiplin serta semangat kebersamaan sebagai warga Universiti dan warganegara yang baik. Semua pihak bersetuju dalam usaha membentuk bakat yang dinamik, kerangka disiplin yang tinggi adalah tonggak yang paling penting. Pihak Universiti Awam kini telah menunjukkan fleksibiliti untuk mengadaptasi pengetahuan dan pendekatan terbaik oleh pihak lain sebagai adunan bersama untuk memantapkan bidang tujahan utama masing-masing”.
“Saya mengajak semua anggota badan beruniform ini menjadi barisan hadapan kepada Universiti ataupun kita katakan sebagai duta-duta yang baik mewakili Universiti. Ini kerana anggota badan beruniform ini baik dan cemerlang dalam pelajaran, keperibadian dan kepimpinan yang amat sesuai menjadi suri teladan pada yang lain” ujar Muhammad Haizuan yang juga merupakan Pendaftar USIM.
Tambahnya lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mahasiswa yang menyertai badan berunifom ini wajar dijadikan ikon idaman oleh mahasiswa kampus dan masyarakat luar.
Muhammad Haizuan yang baharu sahaja dilantik oleh Universiti sebagai Komandan kepada pasukan Siswa Bomba Bantuan USIM turut menyampaikan ucapan terima kasih Pengurusan Universiti kepada barisan jurulatih badan beruniform USIM atas jasa dan keprihatinan mereka membangunkan anak bangsa melalui ilmu dan pengalaman yang dimiliki dalam pasukan beruniform masing-masing.
Perhimpunan Badan Beruniform ini turut dihadiri oleh Dr Abdul Manan Ismail, Pengarah PPKI serta barisan pegawai kanan dan Pegawai Kehormat badan beruniform. Perhimpunan yang diketua oleh Siswa Bomba Bantuan pada kali ini turut di isi dengan lafaz ikrar pasukan beruniform dan pemeriksaan kawalan perbarisan.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204