PEKAN – Seramai 80 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya mengislamkan seramai 11 orang masyarakat Orang Asli semasa menganjurkan Program Bakti Siswa USIM Bersama Masyarakat Orang Asli berbangsa Jakun di Kg. Api Larat, Pekan, Pahang pada 2 hingga 7 Julai yang lalu.
Program yang dianjurkan pada kali ini disifatkan sebagai kejayaan terbesar dan bagai satu hikmah dan nikmat daripada Ilahi apabila sebuah keluarga telah memeluk Islam.
Menurut Ustaz Zakaria Junin, Penggerak Dakwah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, apa yang penting adalah keupayaan kita semua untuk terus sentiasa menjaga kebajikan saudara-saudara baru agar mereka tidak keluar semula daripada Islam.
“Pemantauan yang konsisten dan menjaga kebajikan saudara baru serta sembilan keluarga Islam yang lain adalah penting untuk memastikan mereka percaya dengan agama Islam yang baru mereka anuti itu,” katanya ketika ditemubual.
Mereka yang telah memeluk Islam ialah Lai bt Yama, Sida a/p Miting, Roslan a/l Miting, Intan a/l Miting, Razali a/l Miting, Sila a/p Miting, Miting bin Daud (serta tiga orang anak yang masih kecil) dan Onyong bt Keduan.
Dalam pada itu, Prof. Dr Zulkiple Abd Ghani, Dekan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang juga merupakan pengarah bagi program tersebut berkata program bakti siswa bersama Orang Asli ini boleh dikategorikan sebagai serampang dua mata di mana selain daripada mahasiswa USIM menjalankan aktiviti kemasyarakatan di sana, mereka juga boleh mendapat peluang untuk menyebarkan dakwah Islamiah kepada lebih 600 penduduk di sana.
“Saya percaya dengan adanya penganjuran program sebegini akan memberikan lebih banyak pengalaman kepada mahasiswa USIM untuk terus menabur bakti di samping mengangkat imej USIM kepada masyarakat luar,” katanya ketika ditemubual semasa majlis perasmian penutup pada 7 Julai 2012.
Sebanyak lapan fakulti di USIM yang terlibat dengan program ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menarik antaranya program kesihatan, program kebersihan gigi, ziarah, motivasi pendidikan, sukaneka dan banyak lagi.
Program yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), USIM telah mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang mana merupakan program yang julung kali diadakan dengan menggabungkan kesemua fakulti di USIM.
Antara pegawai pengiring yang bersama-sama dengan mahasiswa di sana ialah Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani (FKP), Prof. Madya Dr. Mohd. Radhi Ibrahim (FKP), Dr. Adanan Mat Junoh (FKP), Dr. Kamaludin Nurdin Marjuni (FKP), Dr. Najib Syeikh Abdisamad (FKP), Dr. Othman Ab. Rahman (FKP), Prof. Madya Datin Dr. Hajah Sapora Sipon (FKP), Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar (FSU), Dr. Mohd Hairulhisyam Ngatiman (FPSK), Dr. Ayad N. Abdullah (FPBU), Dr Norlela Yacob (FPg), Dr. Shumsudin Yabi (FPQS), En. Zaheril Zainudin (FKP), Cik Suria Hani A. Rahman (FKP), Cik Fauziah Hassan (FKP), Pn. Jaziratul Shila Jamal (FKP), Pn. Rozita Abdullah (FKP), En Mohd Shukor Harun (FEM), En. Sharrazmi Anas (FKP), En. Mohd. Rizan Tomin (FKP), Cik Syatirah Najmi Abdullah (FPg), Puan Badariah Hassan (FPg), Cik Sharikamilah Basir (FPg), En. Afif b. Ahmad Pahmin (FPg) dan En.Mohd Hazrul Fareeza Harun (BHEP).
Oleh :
Fauziah Hassan