NILAI, 17 Januari 2020 – Passion Development Programme yang diilhamkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Prof. Dr. Ridza Wahiddin mendapat sambutan amat baik dari kalangan ahli akademiknya. Pada majlis pelancaran yang berlangsung di Galeri USIM, seramai 36 ahli akademik berhimpun bagi mendengar sesi pengenalan program bersama Mentor yang terdiri daripada Pengurusan Universiti.

YBhg. Dato’ Muhammad Haizuan Rozali , Pendaftar USIM selaku pengarah program mengharapkan program ini akan berterusan dilaksanakan kerana melihat tahun 2020 adalah masa untuk ahli akademik dan Pengurusan Universiti untuk bersinergi bersama.

“Pengurusan Universiti mula melihat transisi ini perlu berlaku secara serius untuk memacu universiti ke arah yang lebih gemilang. Saya mengucapkan syabas kepada rakan-rakan yang bersedia terlibat sama dalam menjayakan program ini. Universiti dikaitkan dengan pengukuhan karakter dan seharusnya Universiti mengambil peranan sewajarnya bagi menjuarai agenda ini,” ucapnya.

“Ia juga melibatkan tentang bagaimana untuk mengukuhkan kecemerlangan universiti melalui acuan yang dirancang secara bersama pada masa yang sama menghapuskan jurang di antara ahli akademik dan Pengurusan Universiti supaya kemajuan kerjaya berlaku ke arah lebih baik seperti yang diaspirasikan oleh negara,” tambahnya lagi.

Menurut Naib Canselor, program ini antaranya bagi meningkatkan motivasi pencapaian yang lebih cemerlang dan yang lebih utama ahli akademik berpeluang menimba pengalaman dan berkongsi ilmu dengan Mentor.

“Saya mengharapkan program ini mampu memberi impak yang berkesan kepada tadbir urus universiti dan juga membina world view staf akademik cemerlang selain mencipta kejayaan baharu melalui gandingan ini,” ucapnya.

Sebanyak enam kumpulan ditempatkan bersama enam Pengurusan Universiti iaitu di bawah kepimpinan Naib Canselor, YBhg Prof. Dr. Ridza Wahiddin; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr Abdul Rahim Abdul Rahman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban; Penolong Naib Canselor (Pengurusan Infrastruktur dan Perancangan Pembangunan), Prof. Madya Dr. Asmaddy Haris; Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin.

Melaluinya, peserta di setiap kumpulan akan menjalani program bersama Mentor yang berbeza pada setiap dua bulan bagi memberi peluang mendapat pendekatan berlainan pada masa yang sama memantapkan pengisian serta mencapai matlamat awal yang ditetapkan.

Senarai peserta yang terlibat :






Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan