NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited memperkasa pembangunan kepimpinan dan kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran Program Beyond Boundaries 2025: Meneroka Potensi, Membina Masa Depan, yang menghimpunkan seramai 200 pelajar berpotensi tinggi di Dewan Kuliah Pusat 4, USIM.

Program yang berlangsung pada 6 Disember 2025 ini melibatkan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil badan pelajar universiti serta penerima Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0, dan dianjurkan oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM dengan kerjasama TalentCorp Malaysia serta Graduate Readiness for Employment & Apprenticeship Training Centre (GREAT). Penganjurannya memberi penekanan kepada pembangunan kerjaya, peningkatan kebolehpasaran graduan serta pengukuhan nilai kepimpinan kendiri dalam kalangan mahasiswa.

Tumpuan turut diberikan kepada kumpulan Pelajar Sulung, iaitu pelajar yang merupakan generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Sebagai penerima Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0, mereka dibimbing melalui inisiatif strategik USIM yang menyokong kecemerlangan akademik pelajar daripada keluarga B40, memperluas akses pendidikan serta melahirkan graduan berdaya saing yang berupaya menjadi agen perubahan dalam keluarga dan komuniti.

Seiring keperluan pasaran kerja semasa, program ini menekankan kepentingan pendedahan awal terhadap pembinaan jaringan profesional dan penjenamaan diri. Graduan masa kini bukan sahaja dituntut untuk cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki keupayaan membina hubungan profesional yang kukuh serta hala tuju kerjaya yang jelas dan strategik.

Antara pengisian utama program termasuk slot Build A Foundation for Success oleh TalentCorp, Create A Vision, LinkedIn for Greater Employability, serta FLUENTS: Doing Network Right bersama panel industri. Melalui pendekatan interaktif, peserta dibimbing untuk mengenal pasti potensi diri, mengoptimumkan kekuatan peribadi dan memahami strategi membina rangkaian profesional yang berimpak tinggi sejajar dengan keperluan industri.

Program ini dilaksanakan selari dengan aspirasi USIM dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan, khususnya dalam menyediakan pemimpin pelajar dan penerima Program Sulung dengan pendedahan menyeluruh bagi merancang hala tuju kerjaya secara lebih berfokus dan mampan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah, menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan potensi dan kepimpinan pelajar secara holistik, seterusnya memperkukuh kedudukan USIM dalam melahirkan graduan kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.

Oleh: Amira Asyikin Razali