NILAI, 1 Oktober 2018 – YB Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju untuk melantik Dato’ Prof. Dr Siddiq Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu. Beliau merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada 1440H/2018M dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021. Menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah USIM keempat sejak Universiti ini ditubuhkan, beliau menggantikan Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak yang telah mengakhiri tempoh lantikannya pada 30 September 2018 lalu.Beliau memperolehi Ph.D. dalam Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia M.Litt. (Sarjana Persuratan) dalam Pemikiran Islam dari Universiti yang sama dan Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Dato’ Profesor Dr Siddiq Fadzil, ketika ini adalah Presiden Kolej Dar alHikmah. Beliau juga adalah Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE). Selain itu, belaiu turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Pusat Kajian Maqasid Shariah IDE dan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) di samping dilantik sebagai Prof Adjung di Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Dalam bidang akademik, beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sejak 1974 sehingga 2001. Beliau mula melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan dakwah semenjak pengajiannya di universiti dahulu. Beliau pernah memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Beliau kemudiannya menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga dari tahun 1983-1991. Mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) 2005-2015. Dato’ Dr Siddiq ialah Fellow Akademik dan Ketua Panel Penulis modul Pengurusan Tauhidik dan buku Pengurusan Islami: Menghayati Nilai-nilai Qur’ami (YaPEIM). Ketika ini beliau masih bergiat aktif kegiatan dakwah, di samping menulis dan menyampaikan syarahan akademik, khususnya dalam bidang pemikiran Islam, peradaban Melayu, pendidikan Islam dan Pengurusan Islam.

Beliau telah menghasilkan pelbagai penulisan, khususnya dalam bidang pemikiran dan ilmu-ilmu Islam, sejarah dan kebudayaan Melayu-Islam. Antara hasil karya beliau ialah: Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu; Kebangkitan Umat: Kenyataan dan Harapan; Di Bawah Naungan al-Quran; Mengangkat Martabat Umat; Minda Melayu Baru; Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik; Pemerkasaan Bangsa: Peranan Kepimpinan, Agama dan Budaya, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan I & II; Islam dan Melayu dan Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan

Pihak Universiti ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Dato’ Profesor Dr Siddiq Fadzil atas pelantikan sebagai Pengerusi LPU USIM dan percaya bahawa daya kepimpinan dan pengalaman luas yang dimiliki beliau mampu memacu universiti sebagai pusat rujukan global untuk integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Ucapan penghargaan dan terima kasih diucapkan juga kepada Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas sumbangan dan jasanya kepada Universiti sebelum ini.