LEDANG, 2 Jun 2016  – Aquaponik, merupakan satu teknologi yang agak baru di Malaysia, namun teknologi ini sudah mendapat tempat di luar negara secara komersil. Hasil kesedaran yang tinggi dan meletakkan diri sebagai agen tranformasi masyarakat, seramai 15 orang mahasiswa USIM dari Persatuan Mahasiswa Anak Johor USIM (MAJU) di bawah program Duta Jauhar telah mencetuskan idea untuk melaksanakan sebuah projek berbentuk Aquaponik yang diberi nama Ladang Air (AquaVengers).

Sifat keterbukaan YB Tuan Haji Ismail Bin Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Serampang, Ledang dalam rangka utama merasmikan Medan Selera Kg Semandar, Grisek telah sudi merasmikan pelaksanaan projek ini sekaligus menerima usul pelaksanaannya di Kampung Sungai Senduk, Grisek, Ledang. Beliau berharap projek ini mampu memberikan impak yang besar kepada sosio-ekonomi masyarakat luar bandar negeri Johor khususnya di kampung tersebut.

Pengarah projek, Muhammad Taufik Akmal Bin Roslin, Pelajar Fakulti Syariah dan Undang- Undang  USIM berkata, projek ini dirangka akan dijalankan pada bulan Julai tahun ini. Ladang air berbentuk aquaponik ini adalah gabungan penternakan udang kara dan penanaman sayuran secara hidroponik bertemakan “protecting environment, empowering community” disamping menerapkan konsep Tanam, Tinggal dan Tuai.

“Terdapat 14 program yang dirangka akan dijalankan bersama para penduduk kampung antaranya ialah mengadakan bengkel secara teori dan praktikal dalam menjaga ternakan aquaponik di samping mendedahkan para peserta dengan kaedah penanaman sayuran”, jelas Taufik.

“Selain itu, kelas bagi pengurusan kewangan dan kaedah pasaran aquaponik  juga akan diberikan kepada para peserta secara berterusan agar keuntungan pendapatan para peserta dapat ditingkatkan”, tambahnya lagi.

Turut hadir sama pada program ini Dr. Fuadah Johari selaku penyelia projek.

Disediakan oleh:

Syamimi Binti Md. Salleh

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204