NILAI, 13 Mac 2018 – Program ‘Islamic Global Innovation Festival and Talent’ (i-GIFT) yang berlangsung selama dua hari bermula 10 Mac  buat julung kalinya memperlihatkan usaha Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil peranan sebagai hab inovasi yang memberi peluang kepada ummah membangunkan institusi inovasi dalam merealisasikan hasrat Malaysia dalam Transformasi Nasional 2050.

YBhg Prof Dato Dr Roshada Hashim yang berucap aluan pada Majlis Perasmian Pembukaan pada hari Sabtu berkata, i-GIFT menampilkan keunikan dengan memfokuskan penciptaan produk inovasi Islam yang mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti kehidupan seharian di samping memelihara rantaian lima prinsip Islam yang asas iaitu menjaga dan memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Di Majlis Perasmian i-GIFT yang dirasmikan Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad, pihak USIM menerima Mock Cheque pengagihan dana zakat berjumlah RM50,000.00 daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd yang diwakili oleh Datuk Mohammed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang mana dana zakat ini akan disalurkan kepada mereka yang berkelayakan untuk menjalankan aktiviti yang dikelola di bawah Institute of Halal Research and Management (IHRAM).

Dalam pada itu, YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup i-GIFT pada hari Ahad berkata, selain membudayakan inovasi dan kreativiti, i-GIFT juga memberi peluang kepada pencipta generasi muda untuk mendapat pendedahan awal tentang inovasi dan mempamerkan produk inovasi mereka.

“Pembudayaan inovasi dan kreativiti mesti bermula dengan pendidikan dan ini mesti melibatkan semua golongan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda yakni generasi Y dan Z. Ini bertepatan dengan prinsip 1Malaysia yang mana setiap rakyat Malaysia adalah merupakan modal insan yang berpotensi untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada negara kita,” ucapnya yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang i-INOVA”.

YBhg. Prof Dato Dr Musa Ahmad, yang menyampaikan ucapan aluan berucap, program i-GIFT merupakan himpunan beberapa program utama inovasi dan showcases USIM di bawah satu platform bagi pempamer produk yang terdiri daripada kalangan pelajar, penyelidik, agensi awam dan swasta dan juga industri.

i-GIFT memayungi enam program lain yang menampilkan 120 peserta menyertai Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA) yang memasuki edisi ke-8 sebagai program utama selain beberapa program lain yang berlangsung serentak iaitu seminar Halal Istihlak (Consumerism)-HISEC, bengkel pengkomersialan produk (Bengkel 361◦ Perspectives on R&D Commersialisation), pameran STREAM@N9 yang mengenengahkan pameran berkaitan sains, teknologi, penyelidikan serta kejuruteraan dan matematik, pertandingan Tunas Cipta yang menampilkan reka cipta dan idea kreatif dari kalangan pelajar sekolah serta pameran produk inovasi bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) yang merupakan showcases USIM.

i-GIFT kali ini telah menerima tajaan berjumlah RM30,000.00 daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd manakala penaja lain adalah Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd yang memberikan sumbangan berbentuk hamper kepada pemenang-pemenang yang menyertai pertandingan di bawah kumpulan HISEC iaitu papan permainan Global Halal Game (GHG). Turut memberi tajaan berupa wang tunai RM 1,500 adalah daripada YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dato Dr Abdul Shukor Hj Husin bagi Anugerah Khas (Al-Khawarizmi dan Ibnu Sina) setiap satu, RM 1,500 daripada Yayasan FAQEH bagi Anugerah Ibnu Ummi Maktum setiap satu dan RM 1,500 tajaan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi Anugerah Fatimah Fehri .

Di majlis penyampaian hadiah i-Inova 2018, Hadiah Pingat Emas diberikan kepada 16 penerima bagi Kategori Terbuka iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM), Malaysian Nuclear Agency, Malaysian Palm Oil Board (MPOB) (MPOB), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Komuniti Kuala Langat dan Universiti Sains Malaysia (USM) manakala 5 penerima bagi Kategori Prasiswazah kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Pahang. Peserta membawa pulang wang tunai RM500 beserta medal dan sijil.

Pemenang bagi Anugerah Khas dan Anugerah Utama seperti berikut :

Kategori Prasiswazah:

Anugerah Al-Khawarizmi – Lab In A Box, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Anugerah Ibnu Sina – New Innovation Of Honey Stick Filling Process, Universiti Malaysia Pahang
Anugerah Ibnu Ummi Maktum Yayasan FAQEH – ELEV8, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Anugerah Fatimah Fehri – G-2men Coating & Insulation Spray From Industrial Wastes, Universiti Malaysia Pahang

Kategori Terbuka:

Anugerah Al-Khawarizmi – E-Diwan: Ingenious Mobile Interactive Arabic Language Education Tool, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Anugerah Ibnu Sina – Solat4U, Universiti Malaya (UM)
Anugerah Ibnu Ummi Maktum – BIM – IBADAH, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Anugerah Fatimah Fehri – MFaceSYS : Multi-face Detection System In Video Surveillance Area, Universiti Sains Malaysia (USM)

Anugerah Utama (Anugerah Inovasi Islam)

Kategori Terbuka – Sadaqa Model House, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Kategori Prasiswazah – ARSOM : Arabic Sign Languange Learning Android Apps Using Augmented Reality, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204