MELBOURNE – Seramai 21 orang mahasiswa dan mahasiswi Tahun 5 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama seorang pensyarah pengiring, Dr. Nur Faraheen binti Abdul Rahman telah menyertai aktiviti Pengembaraan Global Islamic Students Outreach (GISO): Into the  Garden City in Melbourne, Australia yang berlangsung dari 11 Julai hingga 17 Julai 2025 baru-baru ini.

Program ini bertujuan meneroka pendekatan pendidikan, pemerkasaan komuniti Islam, serta pemahaman silang budaya dalam kalangan masyarakat Islam di Australia, khususnya di Melbourne. Peserta GISO juga berpeluang menjalin hubungan erat antara USIM dan institusi serta komuniti Islam luar negara, sambil memperluaskan cakrawala pemikiran melalui pengalaman secara langsung.

Menurut Pengarah Program GISO Melbourne, Nur Afiqah Husna binti Suhaimi, program ini bukan sahaja membuka mata peserta terhadap cara hidup masyarakat Islam minoriti di negara maju, malah memberi inspirasi dalam melihat perbezaan sebagai kekuatan dalam dakwah dan penyebaran ilmu.

“Melalui interaksi bersama komuniti Islam di sini, peserta dapat menyedari peranan besar yang dimainkan oleh institusi dan individu dalam mengekalkan identiti Islam dalam suasana yang sangat mencabar,” katanya.

 

Sementara itu, Dr. Nur Faraheen turut menegaskan bahawa GISO adalah satu platform pembelajaran holistik yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. “Program seperti ini membina kemahiran insaniah, semangat kerjasama, serta menjana rasa syukur atas nikmat dan kemudahan yang dimiliki di tanah air,” tambah beliau.

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang pengembaraan ini termasuk lawatan akademik ke RMIT University, perbincangan ilmiah bersama organisasi seperti Activate Youth di University of Melbourne, serta sesi perkongsian ilmu bersama komuniti di Ballarat.

Selain itu, peserta GISO turut mengadakan sesi perkongsian budaya Malaysia bersama komuniti di RMIT University dan University of Melbourne.

Di samping itu, para peserta juga mengambil peluang untuk meneroka keindahan ciptaan Allah di sekitar Melbourne seperti Great Ocean Road, Ballarat Wildlife Park, Sovereign Hill dan Royal Botanic Gardens, sebagai salah satu usaha untuk menghayati keagungan ciptaan Tuhan dalam suasana yang berbeza.

Secara keseluruhan, Program GISO di Melbourne ini bukan sahaja memberi impak besar kepada para peserta, malah telah membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara USIM dan beberapa organisasi Islam di Australia bagi program akan datang.