Bandar Baru Nilai, 23 Jun 2010 – ”Institut Pengajian Tinggi perlu ada sistem yang dapat mendorong kepada pembentukan graduan yang holistik dan marketable supaya dapat bersaing di arena pasaran terutamanya kepada graduan berkelulusan pengajian Islam”, kata YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa merasmikan Seminar Pengajian Islam Menjana Keintelektualan Ummah (PIMKU) 2010 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Umat Islam hari ini menghadapi cabaran semasa dan pertembungan peradaban yang memerlukan kepada kekuatan serta pembentukan jati diri Islam sebenar. Justeru itu penganjuran PIMKU 2010 oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM bertujuan untuk memperkasakan hala tuju pendidikan Islam, bahasa arab dan bahasa inggeris.
Hampir 300 peserta dari Intstitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta telah menyertai seminar ini seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Kolej Universiti Sunway. Sebanyak 80 kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar yang berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2010.
Antara objektif seminar ini adalah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan Pengajian Islam, penggunaan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris selaras dengan kehendak kurikulum, mengenalpasti kaedah pengukuran dan pentaksiran Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris yang autentik menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta menangani isu dan cabaran berkaitan penilaian dan pentaksiran secara formatif dan sumatif.
“Saya berharap agar seminar ini dapat membantu menjana maklumat kepada semua peserta bagi memastikan pengajaran Islam, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris mampu berjalan seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam memperkasakan tamadun Islam”, tambah YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim mengakhiri ucapan beliau di seminar tersebut.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025