NILAI, 16 OKT 2015 –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melahirkan rasa berbangga dan tahniah atas kejayaan yang dikecapi oleh dua pelajarnya Hamidah dan Fuad apabila dinobatkan sebagai Juara dan Naib Juara bagi program realiti tv iaitu Da’i Pendakwah Milenia Musim Ketiga yang berakhir setelah hampir tiga bulan berlangsung setiap Jumaat di TV3.

Hamidah, 23, berasal dari Sik Kedah merupakan anak bongsu dari lapan beradik ini merupakan anak kepada pasangan Abd Razak Ag Long dan Azizah Othman. Mendapat pendidikan menengah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena Kedah sebelum menyambung pengajian di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM bagi program Ijazah Sarjana Muda Akidah dan Agama.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik sangat gemar untuk mendapatkan pengalaman baru, disebabkan itu Hamidah pernah bekerja sebagai guru agama semasa belajar untuk mengumpul duit sendiri bagi menampung pengajiannya.

“Saya bersyukur dan menganggap ia adalah rezeki daripada Allah kerana matlamat utama bukanlah kemenangan sejak hari pertama saya berada dalam rancangan da’I ini. Saya mahu belajar dan mempertingkatkan keupayaan diri dalam bidang dakwah. Oleh kerana itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pensyarah saya di USIM yang tidak putus-putus mendidik saya begitu juga pengurusan tertinggi USIM khasnya Datuk Profesor Naib Canselor yang telah memberi peluang kepada saya untuk menyertai rancangan Da’i ini”, ujar Hamidah.

“Erti hidup ini adalah untuk memberikan manfaat kepada agama dan ummah. Saya akan terus belajar mempertingkatkan ilmu dan kemahiran saya dalam pada masa yang sama akan berusaha menyumbangkan ilmu kepada masyarakat”, tambah Hamidah.

Beliau turut memberi kata semangat dan nasihat kepada adik-adik di luar sana dengan inginkan dunia haruslah dengan adanya ilmu, begitu juga inginkan akhirat haruslah dengan adanya ilmu, belajarlah selagi mampu untuk membina generasi yang diimpikan Islam kerana kita harus bangkit dari lena yang panjang.

Bagi Naib Juara pula Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar, 20, dari Selangor merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam USIM.

“Hampir tiga bulan berada dalam program ini telah banyak ilmu yang saya pelajari, tidak kira daripada tenaga pengajar mahupun juri. Tugas berdakwah lebih2 lagi di depan kaca televisyen bukanlah mudah. Namun saya beruntung kerana mendapat tunjuk ajar daripada pendakwah hebat seperti Datuk Kazim Elias”, jelas Fuad.

Hamidah membawa pulang hadiah wang tunai RM50 ribu, trofi, pakej umrah, hadiah iringin lain serta turut dipilih sebagai Da’i pilihan D’Herbs dengan membawa pulang trofi dan Ipad.  Manakala Fuad membawa pulang hadiah wang tunai RM5 ribu berserta hadiah iringan lain.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204