NILAI, 25 Januari 2023 – Seramai 380 peserta yang terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor telah menghadiri Program Hari Menyantuni OKU 2023 anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 25 Januari 2023.

Program yang signifikan kepada mahasiswa program Pengajian Quran dengan Multimedia dan Pengajian Quran dan Sunnah ini dijalankan dengan beberapa aktiviti dan checkpoint antaranya pameran braille, Spin Sign Win, dan Tahfiz Akhyar. Turut diadakan forum bertajuk Simposium Khidmat Quran & Sunnah Bagi OKU (SIQAH 2023) “Heart to Heart Even Without Sight, There Is Still Vision”.

Menurut Afiq Aizuddin, pelajar tahun 4 selaku pengarah program, objektif penganjuran program ini adalah bagi membuka hati dan minda serta mengubah persepsi masyarakat awam terhadap komuniti OKU disamping memberikan kesedaran dalam kalangan mahasiswa untuk lebih cakna terhadap OKU dan cara pembelajaran mereka.

“Jelasnya lagi, program ini mendapat sambutan yang hangat dengan kehadiran mahasiswa dari pelbagai fakulti di USIM dan turut dimeriahkan oleh pelajar-pelajar sekolah pendidikan khas di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor”.

“Program seperti ini diharapkan dapat melahirkan mahasiswa hoslistik bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, bahkan mampu menyumbang kepada masyarakat di luar sana terutamanya golongan OKU”, ujarnya.

Saudara Aqil Irfan iaitu mantan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Sesi Akademik 2021/2022 berkata, program ini amat baik dan harus dijadikan sebagai acara tahunan di fakulti kerana banyak memberi manfaat kepada mereka terutamanya dalam mengenali golongan OKU. Tahniah kepada semua barisan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan program ini”.

Sementara itu, Iqbal Arif salah seorang peserta yang hadir turut menyokong penganjuran program ini kerana ia telah memberi impak yang besar khusus kepada mahasiswa untuk sama-sama cakna dalam menyantuni OKU.

sumber: FPQS

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan