PANDAN INDAH, 21 NOV 2014 – Sambutan Ulang tahun ke 10 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan dengan perasmian Majlis Hari Terbuka yang diadakan di kampus Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Hj Abdul Shukor bin Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, serta dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, dan pegawai-pegawai universiti.
Dengan membawa tema “Merintis dan Meneraju Naqli dan Aqli di dalam Ilmu Perubatan”, sambutan ulang tahun FPSK adalah untuk memperkenalkan dan mengetengahkan FPSK sebagai sebuah gedung ilmu, mempamerkan kejayaan-kejayaan fakulti sepanjang 10 tahun ini, serta merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat.
Dalam ucapan Tan Sri Dato’ Dr. Hj Abdul Shukor bin Hj Husin, beliau bukan sahaja mengimbau kembali titik permulaan penubuhan fakulti malah mengingatkan amanah yang diberikan ketika penubuhan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan ini pada 2004 dalam memartabat dan mengintegrasikan islam dan perubatan moden dalam pengajaran pelajar perubatan. Beliau juga telah menekankan pentingnya meningkatkan usaha dan jati diri dalam memperkukuhkan FPSK menjadi salah satu fakulti perubatan terbaik di masa hadapan.
Dekan FPSK, Prof. Dr. Muhammad Shamsir bin Mohd Aris berkata, FPSK telah ditubuhkan pada tahun 2004 dengan pelajar seramai 29 orang pada masa itu, kini telah melahirkan seramai hampir 200 graduan yang bergelar doktor, untuk menabur jasa kepada masyarakat dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari di samping merealisasikan perubatan berintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.
Antara pengisian utama sambutan ulang tahun ke-10 FPSK adalah program syarahan, demonstrasi klinikal seperti CPR, surgical suturing, the normal and abnormal heart sound dan breast self examination technique. Pelbagai pameran turut diadakan seperti pameran berkenaan tokoh-tokoh Islam dalam bidang perubatan, pameran kesihatan, pameran dan jualan buku-buku perubatan, simulasi klinikal, demonstrasi CPR, lawatan ke Muzium Perubatan dan Kuiz Pendidikan Kesihatan.
Yang menariknya demonstrasi klinikal, saringan dan pemeriksaan kesihatan dikendalikan sendiri oleh pelajar-pelajar perubatan sendiri.
Di samping itu FPSK dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Dato’ Shahbandar dan Taman Sakura, Jabatan Perpaduan Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan JKKK Sungai Landak, telah menganjurkan Majlis Khatan Perdana dan Karnival Kesihatan yang dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Abu Ubaidah bin Dato’ Haji Redza, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan. Kerjasama ini adalah satu usaha pihak fakulti untuk bersama-sama masyarakat menjalankan program kebersamaan selain menjalin ukhwah komuniti sekitar Seremban. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah. Program berkhatan ini disertai seramai 32 kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun.
Disediakan oleh :
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204