NILAI- Penganjuran Program Syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 merupakan satu permulaan kepada usaha untuk memacu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bersifat inklusif dan relevan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Syarahan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhar Menteri di Pejabat Perdana Mentri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Dewan Senat USIM memfokuskan kepada pembinaan masyarakat yang patriotik dan demokratik melalui penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta pengukuhan ekosistem perpaduan dan keharmonian.
Syarahan siri pertama ini dihadiri oleh 120 peserta dari pelbagai latar belakang, merupakan medan percambahan ilmu di kalangan tokoh dan ahli akademik serta masyarakat awam tentang peri penting kehidupan yang harmoni walaupun dalam masyarakat yang berbilang kaum, tradisi dan agama.
Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dekan FSU berkata, penganjuran program ini adalah antara inisiatif FSU untuk memperkasa pengetahuan berkaitan perundangan dan Syariah dalam elemen kesejahteraan selari dengan agenda membangun Malaysia MADANI.
“Selaras dengan enam nilai teras MADANI yang dicerakinkan sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) turut memainkan peranan untuk menjadi pemangkin kepada pembinaan sebuah negara yang harmoni dalam konteks perundangan dan syariah”.
Beliau menambah, MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. Malaysia MADANI mewakili enam rukun iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAT), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
Ujarnya lagi, objektif penganjuran Syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 ini adalah bertujuan untuk menjalin hubungan strategik dan perkongsian ilmu antara tokoh penceramah dan ahli akademik USIM/ pelajar siswazah, selain menyahut seruan gagasan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Malaysia dalam elemen kesejahteraan selaras dengan pembinaan negara MADANI.