NILAI – Seramai 108 peserta daripada dalam dan luar negara meliputi sekolah seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak, Kolej Politeknik dan juga Institusi Pengajian Tinggi menghadiri International Language and Education Innovation Competition (i-INNOLED 2024) yang berlangsung bermula daripada 15 hingga 16 Oktober 2024 bertempat di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bertemakan ”Navigating the Future of Language and Education in a Transformative Era” | ”Menelusuri Masa Depan Bahasa dan Pendidikan dalam Era Transformasi”, i-INNOLED 2024 merupakan pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang julung kali dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM dengan kerjasama Malaysian Action Research Network (MARNET), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei (UNISSA) dan Universitas Lancang Kuning, Pekan Baru, Indonesia (UNILAK).

Majlis Perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dato’ Muhammad Taufik Mohd Noor. Turut hadir Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Prof. Madya Dr. Zainur Rijal Abdul Razak.

Prof Dato’ Muhammad Taufik Mohd Noor dalam ucapannya berkata matlamat dan objektif utama pertandingan inovasi ini adalah untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi serta membolehkan pertukaran gagasan, ilmu, pengalaman, dan pada masa yang sama mengeratkan kerjasama dalam kalangan para profesional, ilmuan, ahli akademik, penyelidik dan pelajar dari seluruh dunia. Ini bagi meninjau ilmu, teori, teknik dan strategi terkini dalam bidang bahasa dan pendidikan demi menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh pada era masa kini yang mencabar.

”Kolaborasi dengan MARNET, UNISSA dan UNILAK telah memperkaya dimensi antarabangsa dan sekaligus memperkuat jaringan inovasi di peringkat Nusantara. i-InnoLED 2024 juga bukan hanya sekadar suatu pertandingan, tetapi juga suatu gerakan untuk melahirkan inovasi-inovasi yang dapat mengubah lanskap bahasa dan pendidikan yang diharapkan dapat menjadi rujukan bagi para pejuang bahasa dan pendidikan di seluruh dunia”.

”Diharapkan agar pertandingan inovasi ini dapat memberi ruang yang luas kepada para ahli akademik, industri, pelajar institusi pendidikan tinggi serta murid sekolah menengah dan rendah, khususnya dalam meneroka ilmu dan kreativiti inovasi dalam bidang bahasa dan pendidikan untuk berkongsi idea dan produk inovasi mereka, berkaitan bidang bahasa dan pendidikan, ujarnya lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang pertandingan inovasi ini ialah slot pembentangan oleh tiga pengucaptama yang dijemput khas oleh pihak penganjur. Sesi poster inovasi juga diadakan bagi memberi ruang kepada para peserta dari dalam dan luar negara bagi memperkenalkan hasil inovasi masing-masing berkaitan pelbagai bahasa dan pendidikan. 

Sementara itu, Pengarah i-InnoLED 2024, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdullah berkata, “penganjuran i-InnoLED 2024 merupakan sebuah inisiatif yang signifikan untuk merangsang inovasi dalam bidang bahasa dan pendidikan. Melalui tema yang sangat relevan dengan perkembangan semasa, ‘Navigating the Future of Language and Education in a Transformative Era’, pertandingan ini bertujuan untuk menghimpunkan para inovator yang mampu menawarkan solusi kreatif bagi masalah kontemporari dalam dunia bahasa dan pendidikan”.

“Saya berharap agar segala inovasi yang diketengahkan di pertandingan ini dapat diadaptasi dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat. Pertandingan inovasi  seumpama ini diharap dapat merangka strategi yang lebih tersusun dan lebih komprehensif dalam bidang bahasa dan pendidikan untuk memenuhi keperluan individu dan masyarakat dalam menghadapi era transformasi masa kini”.

Persidangan ini terbuka kepada para profesional, ahli akademik, tenaga pengajar, mahupun pelajar institusi pengajian tinggi, murid sekolah, badan-badan kerajaan dan swasta,serta mana-mana pihak yang terlibat dalam bidang bahasa dan pendidikan dari dalam dan luar negara.

i-INNOLED 2024 turut mendapat tajaan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selain itu, Pusat Zakat dan Wakaf USIM, dan JAD Travel turut memberikan sokongan dalam bentuk penajaan kewangan bagi memantapkan lagi penganjuran pertandingan inovasi peringkat antarabangsa ini.

 

Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama