NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjadi universiti pilihan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengadakan Program Imarah Ramadan (IMRAN) pada 19 Mac 2024.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Penerbit USIM dengan kerjasama PTPTN tersebut telah diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM dengan kehadiran Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Encik Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN; Puan Mastura Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi PTPTN; Puan Hariza Mohd Yusof, Pengarah Pusat Penerbit; beberapa wakil PTPTN dan warga USIM.

Program edaran bubur lambuk merupakan sebuah inisiatif sosial yang lazimnya dilakukan pada bulan Ramadan di beberapa negara Islam, terutamanya di Malaysia, Singapura, dan Brunei. Bubur lambuk adalah sejenis bubur yang dibuat daripada beras, daging, rempah, dan sayuran yang dimasak bersama-sama dalam kuantiti yang banyak.

Encik Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN berkata, “Program Imarah Ramadan (IMRAN) merupakan inisiatif oleh PTPTN yang diadakan sejak 2021 untuk menjalin hubungan dengan masyarakat khususnya pelajar dan pengurusan di institusi pendidikan tinggi.”

“Sempena bulan Ramadan yang penuh berkat, sedekah menjadi amalan yang mendapat ganjaran pahala berlipat ganda. Sedekah di bulan Ramadan mengajarkan kita erti kesyukuran di atas nikmat dan menyantuni orang yang kurang berkemampuan,” tambah Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Program IMRAN dimulakan dengan acara memasak bubur lambuk di Dapur USIM, Kompleks Islam Tuanku Muhriz oleh staf PTPTN dan staf Pusat Penerbit. Agihan sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk telah dibuat kepada semua staf dan pelajar USIM pada jam 4.00 petang.

 

Oleh: Nurhamizah Khalil