Dr. Mohd Nizwan Musling
Dr. Mohd Nizwan MuslingPensyarah FPBU, Felo Bersekutu ISI

Peluncuran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 melalui Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menandakan satu detik penting dalam landskap pendidikan tinggi negara. Peluncuran yang telah berlangsung pada 20 Januari 2026 mencerminkan komitmen serius kepimpinan negara dalam merangka hala tuju pendidikan nasional yang lebih menyeluruh, bersepadu dan berpandangan jauh, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi agar kekal relevan, berdaya saing global dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Wajar diberikan penghargaan kepada kepimpinan negara atas kejayaan meluncurkan pelan strategik jangka panjang ini, disamping pengiktirafan terhadap peranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta seluruh pasukan kementerian yang telah merangka RPTM melalui proses perundingan yang teliti, inklusif dan berfasa, melibatkan ribuan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dan latar belakang. Dengan siapnya dokumen dasar ini, tumpuan kini beralih kepada fasa yang paling mencabar dan menentukan, iaitu pelaksanaan yang berkesan di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

Sebagai pelan strategik nasional, RPTM 2026-2035 bukan sekadar kesinambungan dasar terdahulu, tetapi mencerminkan anjakan paradigma pendidikan tinggi Malaysia ke arah universiti generasi keempat yang menekankan nilai kemanusiaan, kemampanan dan impak sosial, di samping kecemerlangan akademik dan penyelidikan. Dalam konteks inilah, agenda pemerkasaan teknologi baharu, digital dan kecerdasan buatan (AI) melalui integrasi ilmu muncul sebagai antara teras transformasi paling signifikan.

Antara lapan inisiatif fokus RPTM ialah pemerkasaan penguasaan AI yang memerlukan perhatian mendalam kerana ia bukan sekadar isu teknologi, tetapi persoalan epistemologi, nilai dan arah pendidikan. AI hari ini mempengaruhi cara manusia berfikir, menghasilkan maklumat dan membuat keputusan. Justeru, pendidikan tinggi tidak boleh hanya bertanya bagaimana AI digunakan sebagai tool, tetapi perlu berani bertanya bagaimana AI dimaknai, diarahkan dan dibatasi agar tidak menghakis keupayaan berfikir manusia, sebaliknya memperkukuh kebijaksanaan insan yang beretika.

Pendekatan ini sejajar dengan peralihan fokus pendidikan tinggi baharu yang digariskan dalam RPTM, iaitu daripada literasi teknologi asas kepada pembangunan kompetensi menyeluruh, termasuk integrasi STEAM yang merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni/Sastera, Kemanusiaan dan Budaya. Peralihan ini menegaskan bahawa AI tidak boleh dimonopoli oleh satu disiplin sahaja, sebaliknya perlu difahami secara rentas bidang dan berpandukan nilai.

USIM dan Falsafah INAQ: Integrasi Naqli dan Aqli dalam Era AI

Dalam menjayakan agenda ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berada pada kedudukan yang signifikan untuk menterjemahkan Inisiatif 8 RPTM secara bermakna melalui falsafah Integrasi Naqli dan Aqli (INAQ). Falsafah ini menegaskan keseimbangan antara ilmu wahyu (Naqli) sebagai penentu kebenaran mutlak dengan ilmu Aqli yang berteraskan rasional, pemikiran sistematik dan bukti saintifik bagi memperjelaskan, menghurai serta mengaplikasikan kebenaran tersebut dalam realiti kehidupan dan pembangunan ilmu kontemporari.

Dalam kerangka ini, AI dikuasai melalui ilmu Aqli – data, algoritma, analisis dan inovasi – namun arah, tujuan dan batas penggunaannya ditentukan oleh kerangka Naqli yang berpaksikan nilai kebenaran, etika dan amanah. AI tidak berfungsi sebagai penentu makna atau kebenaran, sebaliknya sebagai alat untuk memperjelaskan dan menyokong kefahaman manusia terhadap realiti. Pendekatan ini amat bertepatan dengan aspirasi RPTM yang menekankan pembangunan bakat pembina negara berpaksikan kemanusiaan, menghayati nilai dan siap siaga masa hadapan.

RPTM turut menegaskan bahawa matlamat pendidikan tinggi ialah melahirkan pembina negara yang berpengetahuan, beretika dan berkeupayaan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara. Prinsip ini selari dengan pendekatan INAQ yang tidak memisahkan antara ilmu dan adab, antara kemajuan teknologi dan tanggungjawab moral.

Daripada Literasi Teknologi kepada Literasi Epistemik

Salah satu cabaran utama pendidikan tinggi dalam era AI ialah risiko melahirkan graduan yang cekap secara teknikal tetapi rapuh dari sudut penilaian makna dan kebenaran. Justeru, literasi teknologi perlu ditingkatkan kepada literasi epistemik, iaitu keupayaan memahami bagaimana ilmu dihasilkan, menilai kesahihan maklumat dan membuat pertimbangan beretika.

RPTM secara jelas menekankan keperluan membangunkan bakat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi menghayati nilai dan berdaya fikir kritis. Prinsip ini selari dengan peringatan al-Qur’an agar manusia tidak mengikuti sesuatu tanpa pengetahuan yang benar dan bertanggungjawab: Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya…” (Surah al-Isra’, 17:36). Dalam konteks ini, AI perlu diposisikan sebagai alat sokongan kepada pemikiran kritis, bukan pengganti kebijaksanaan manusia.

Implikasi kepada Kurikulum, Pentaksiran dan Pensyarah

Pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dilaksanakan secara kosmetik atau bersifat jangka pendek. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menggariskan peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) sebagai pemboleh daya kepada pengajaran dan pembelajaran yang dinamik, penyelidikan berimpak serta pembangunan bakat holistik. Hal ini menuntut penstrukturan semula kurikulum agar AI diintegrasikan secara bermakna, di samping pelaksanaan pentaksiran yang menilai proses berfikir, kebolehan mentafsir serta pertimbangan etika — bukan sekadar hasil akhir atau output semata-mata.

Sebagai contoh di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), melalui kursus Leksikografi Arab dan Pertuturan Bahasa Arab Lanjutan, pelajar dibenarkan menggunakan AI dalam menyiapkan tugasan dengan syarat dan garis panduan yang jelas. Pendekatan ini bertujuan memastikan ketelusan, kompetensi, keaslian, kematangan berfikir dan kebolehnilaian akademik, disamping melatih pelajar mengenal pasti ketidaktepatan fakta, bias atau maklumat yang dihasilkan oleh AI secara kritis dan bertanggungjawab. Prinsip ini sejajar dengan peringatan Rasulullah SAW bahasa “cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang didengarinya” (Riwayat Muslim), satu peringatan yang amat relevan dalam era AI yang sarat dengan maklumat tetapi hakikatnya menuntut kebijaksanaan dalam menilai dan menggunakannya.

Dalam ekosistem ini, peranan pensyarah menjadi semakin penting sebagai pembimbing intelektual dan penjaga integriti akademik. RPTM turut menekankan keperluan membangunkan warga akademik yang adaptif, sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, beretika dan berdaya tahan, bagi memastikan transformasi pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan dalam jangka panjang.

Dari Dasar kepada Pelaksanaan

RPTM 2026–2035 telah menyediakan kerangka dasar yang kukuh dan berpandangan jauh, berpaksikan nilai kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan. Kini, amanah tersebut berpindah ke bahu IPT untuk menterjemahkannya ke dalam amalan sebenar. Bagi USIM, falsafah INAQ menyediakan kompas epistemologi yang jelas agar pemerkasaan AI tidak tersasar daripada tujuan asal pendidikan, iaitu membina insan berilmu, beradab dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, peluncuran RPTM 2026–2035 wajar dipuji sebagai hasil kepimpinan berwawasan Perdana Menteri, kebijaksanaan Menteri Pendidikan Tinggi serta kesungguhan pasukan kementerian dalam menyediakan pelan yang komprehensif dan inklusif. Dengan perancangan dasar yang telah dimuktamadkan, cabaran sebenar kini ialah pelaksanaan yang berprinsip, berintegriti dan berpandukan nilai.

Bagi USIM, INAQ bukan sekadar slogan institusi, tetapi kerangka ilmu yang membimbing bagaimana AI difahami, digunakan dan dikawal. Jika pendekatan ini dapat direalisasikan secara konsisten, RPTM 2026–2035 bukan sahaja akan melahirkan graduan celik teknologi, tetapi pembina negara yang berilmu, beradab dan bersedia memimpin masa hadapan.