Setiap kali tibanya bulan Ramadan, bazar makanan akan kelihatan di pelbagai lokasi dan menjadi antara destinasi utama masyarakat menjelang waktu berbuka puasa. Deretan gerai yang menawarkan pelbagai jenis juadah tradisional, dan moden dan kreatif menjadikan bazar Ramadan seolah-olah sebuah “syurga makanan”. Daripada nasi kerabu, nasi lemak, nasi ayam, murtabak, ayam percik, sehinggalah pelbagai jenis kuih-muih dan minuman yang berwarna-warni, semuanya tersedia untuk memenuhi selera masyarakat yang berkunjung. Kepelbagaian makanan ini bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya kulinari masyarakat Malaysia, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi apabila ramai peniaga mengambil peluang menjana pendapatan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Dari sudut ekonomi dan sosial, bazar makanan memberi peluang yang besar kepada usahawan kecil dan peniaga tempatan untuk menjana pendapatan. Bagi golongan peniaga mikro dan perusahaan kecil, bazar makanan merupakan pentas penting untuk memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat. Selain itu, bazar juga menghidupkan suasana komuniti apabila orang ramai berkumpul untuk membeli makanan sambil berinteraksi antara satu sama lain. Keadaan ini selari dengan konsep keseimbangan antara pembangunan ekonomi, dan kesejahteraan masyarakat yang sering ditekankan dalam pendekatan Islam.
Namun, di sebalik “syurga makanan” tersebut, timbul persoalan sama ada bazar makanan benar-benar membawa manfaat atau berpotensi menjadi “bencana” terutamanya aspek keselamatan dan kebersihan makanan tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Dalam keghairahan peniaga menjalankan perniagaan gerai di bazar makanan, aspek keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan. Keadaan bazar yang sesak dan suhu persekitaran yang panas, makanan yang tidak dikendalikan dengan baik boleh menjadi medium pembiakan bakteria berbahaya. Contohnya, makanan yang terdedah terlalu lama pada suhu bilik atau tidak disimpan pada suhu yang sesuai boleh meningkatkan risiko keracunan makanan. Selain itu, pengendalian makanan tanpa menjaga kebersihan diri, seperti tidak menggunakan sarung tangan atau penutup kepala, juga boleh menyebabkan pencemaran silang. Oleh itu, peniaga perlu memastikan amalan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi bagi melindungi kesihatan pengguna.
Dalam perspektif Islam, aspek kebersihan dan keselamatan makanan berkait rapat dengan konsep halalan tayyiban, iaitu makanan yang bukan sahaja halal dari segi hukum syarak tetapi juga bersih, selamat, dan berkualiti. Prinsip ini menekankan bahawa makanan yang diambil oleh manusia perlu memberi manfaat kepada tubuh dan tidak mendatangkan mudarat. Oleh itu, peniaga bazar makanan bukan sahaja bertanggungjawab dari segi perniagaan, malah turut memikul amanah untuk menyediakan makanan yang selamat kepada pengguna.
Islam menekankan kepentingan kebersihan, kesederhanaan, dan pengambilan makanan yang halal lagi baik iaitu halalan tayyiban. Contohnya, dalil Naqli dalam al-Quran melalui firman Allah, dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. Ayat ini menekankan kepentingan menjaga pemakanan yang sihat, bersih, dan halal untuk tubuh manusia. Dari sudut Aqli pula, sains makanan menjelaskan bahawa pengendalian makanan yang tidak selamat boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria yang membahayakan kesihatan manusia. Gabungan kedua-dua pendekatan ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan makanan dan pengurusan sumber perlu diberi perhatian serius dalam setiap aktiviti bazar makanan.
Selain aspek keselamatan makanan, budaya pembaziran juga sering berlaku di bazar makanan. Ramai pengunjung cenderung membeli makanan dalam kuantiti yang banyak kerana terpengaruh dengan pelbagai pilihan yang menarik. Akibatnya, sebahagian makanan tersebut tidak sempat dihabiskan dan akhirnya dibuang begitu sahaja. Situasi ini secara tidak langsung menjadikan bazar makanan bukan sahaja tempat menikmati juadah berbuka, tetapi juga penyumbang kepada peningkatan sisa makanan. Fenomena ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menegah pembaziran. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, Surah Al-Isra’, ayat 27, bahawa orang yang membazir adalah saudara kepada syaitan. Justeru, pengguna seharusnya mengamalkan sikap bersederhana dan membeli makanan sekadar keperluan sahaja.
Kesimpulannya, bazar makanan boleh menjadi “syurga” yang menceriakan masyarakat sekiranya diurus dengan baik, bersih, dan bertanggungjawab. Namun, tanpa kesedaran terhadap aspek keselamatan makanan, kebersihan, dan pembaziran, bazar makanan berpotensi menjadi “bencana” kepada kesihatan dan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak termasuk peniaga, penganjur, dan pengunjung perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bazar makanan kekal sebagai tempat yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada masyarakat.
