Kawasan Chow Kit sering dilihat sebagai sebuah mikrokosmos ibu kota yang tidak pernah tidur. Di sebalik deru enjin kenderaan dan hiruk-piruk perniagaan, terselubung satu realiti yang sering kita pandang sebelah mata. Di lorong-lorong gelap dan di atas kepingan kotak yang dijadikan tilam, wujud sekelompok komuniti yang sedang bertarung dengan ‘peperangan’ yang tidak nampak di mata kasar, iaitu peperangan jiwa.
Hasil kajian mendalam mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan spiritual dalam kalangan gelandangan di Chow Kit mendedahkan satu hakikat yang meruntun hati. Bagi kelompok ini, kehilangan tempat tinggal hanyalah puncak kepada gunung ais masalah yang jauh lebih besar. Di bawahnya, terdapat lapisan trauma, diskriminasi, dan kekosongan jiwa kronik yang sering kali gagal dikesan oleh sistem sokongan sedia ada.
- Memahami Luka Jiwa: Cabaran Mental yang Terselindung
Dari sudut pandang kemanusiaan, tahap kesihatan mental gelandangan di Chow Kit memerlukan perhatian yang lebih serius. Kajian mendapati bahawa majoriti mereka membawa bebanan emosi yang sangat berat, atau dalam istilah saintifik disebut sebagai “trauma berlapis”. Ini bukanlah sekadar emosi sedih biasa, tetapi tekanan emosi mendalam, kesan daripada rentetan peristiwa pahit yang dilalui dalam tempoh yang lama.
Ramai antara mereka bergelut dengan gangguan tekanan emosi kronik akibat sejarah pengabaian atau kesan psikologi dipinggirkan masyarakat seperti apabila seseorang terputus hubungan dengan keluarga, terutamanya bekas banduan yang baru dibebaskan dari tekanan emosi yang dialami sukar digambarkan. Penolakan ini meruntuhkan keyakinan diri (self-esteem) mereka untuk kembali bermasyarakat. Dalam keadaan stres berpanjangan, keupayaan untuk berfikir secara tenang dan rasional terjejas, menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan ‘waspada’ (hyper-vigilance) demi keselamatan diri di kaki lima.
- Kitaran Ganas: Antara Fizikal dan Emosi
Selain bebanan mental, kesihatan fizikal yang merosot akibat penyakit kronik turut memburukkan lagi keadaan. Tanpa pekerjaan tetap, mereka hilang akses kepada nutrisi asas yang diperlukan oleh tubuh untuk kekal sihat. Ketiadaan tempat tinggal yang stabil bukan sahaja merosakkan fizikal, tetapi menghakis martabat diri sebagai manusia. Isu dokumentasi diri yang kadangkala timbul juga menambah kerumitan, namun akar masalahnya tetap berbalik kepada kesejahteraan dalaman mereka.
- USIM dan Ihsan MADANI: Membawa Sinar Tazkiyah
Di tengah-tengah keruntuhan emosi ini, dimensi spiritual muncul sebagai jambatan pemulihan. Konsep Tazkiyah al-Nafs (penyucian hati) menawarkan terapi psikospiritual yang diperlukan untuk mengimbangi tekanan hidup. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, terutamanya tonggak Ihsan dan Kesejahteraan.
Dalam hal ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memainkan peranan proaktif melalui semangat penerapan tonggak MADANI dalam masyarakat. Sebagai institusi yang berpaksikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, USIM tidak sekadar menjadi institusi menara gading, malah turun ke lapangan di Chow Kit untuk menyantuni golongan yang terpinggir ini. Melalui inisiatif pemindahan ilmu dan aktiviti kesukarelawanan, USIM membawa pendekatan penyucian hati sebagai kaedah penyembuhan harga diri.
Golongan ini dibantu melalui bimbingan pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) bagi mengikis rasa putus asa, dendam masa lalu, serta kebencian terhadap diri sendiri. Usaha ini membantu mereka membina semula daya tahan (resilience) dan mengukuhkan tonggak keyakinan diri. Melalui sentuhan Ihsan daripada warga akademik dan pelajar USIM, gelandangan ini diberikan “rumah dalaman” (inner home) untuk merasa selamat dan dihargai semula sebagai insan.
Hak Kesejahteraan Untuk Semua
Isu di Chow Kit adalah cermin kepada masyarakat kita. Jika kita hanya memberi bantuan material tanpa merawat luka mental dan spiritual, kemelut ini tidak akan menemui noktahnya. Kita memerlukan anjakan paradigma daripada sekadar memberi simpati kepada memberikan empati yang menyembuhkan.
Masyarakat perlu menerima semula golongan ini, terutamanya mereka yang ingin memulakan hidup baru selepas keluar dari penjara. Institusi seperti USIM telah menunjukkan jalan bahawa gabungan ilmu sains dan spiritual mampu memberikan solusi holistik. Di lorong-lorong Chow Kit, kita belajar bahawa seberat mana pun ujian fizikal, selagi hati dididik dengan ketenangan dan kebergantungan kepada Yang Maha Esa, sinar harapan itu akan sentiasa ada. Kesejahteraan jiwa adalah hak setiap insan, tanpa mengira darjat atau kedudukan.
Penyelidikan ini dijalankan melalui pembiayaan Geran Penyelidikan TRANSLASIONAL, Kod: PPI/TRANSLASIONAL/FKP/USIM/12825 di bawah naungan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti atas sokongan dalam menjayakan kajian lapangan dan penerapan nilai MADANI di kawasan Chow Kit.

