Klinik Pakar Kesihatan USIM (KPKU) telah ditubuhkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). KPKU menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah yang terunggul. Hasil kerjasama USIM dengan MAINS ini bertujuan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
KPKU terletak di Nilai Square, Nilai Negeri Sembilan telah mula beroperasi pada 10 April 2015 sebagai klinik swasta di bawah kendalian USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd. KPKU dilengkapi dengan peralatan yang berasaskan teknologi terkini yang diwakafkan oleh MAINS dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran perubatan dan pergigian dengan harga yang lebih murah dari klinik pakar lain.
KPKU memberikan perkhidmatan perubatan dan pergigian. Perkhidmatan kepakaran disini dibantu oleh pensyarah Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan (FPSK) dan pensyarah Fakulti Pergigian (FPG) USIM. Doktor-doktor pakar dari USIM ini memberikan perkhidmatan perubatan dan pergigian dengan mendokong konsep Aqli dan Naqli. Iaitu perubatan moden yang dibantu dengan ilmu bersumberkan Al Quran bagi membantu pesakit lebih bermotivasi dan positif.
Klinik ini terbuka kepada orang awam tidak mengira umur dan bangsa. Klinik ini juga mempunyai doktor biasa dan mempunyai doktor kepakaran perubatan keluarga, perubatan am (termasuk pakar neurologi, endokrin, gastro), pakar sakit puan dan ibu mengandung, pakar kanak-kanak, pakar mata, pakar hidung,telinga dan tekak, pakar psychiatry, pakar orthopaedik dan pakar radiologi. Klinik pakar mempunyai mesin Xray, Ultrasound dan ECG. Klinik ini mampu membuat ‘detail scan’ untuk ibu mengandung dan ‘medical check-up’ bagi tujuan saringan kesihatan, kerja dan sambung belajar. Rata-rata pesakit berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dengan harga yang lebih murah.
Istimewanya, klinik ini merupakan satu contoh klinik berorientasikan waqaf yang menyediakan khidmat kepakaran perubatan untuk golongan kurang berkemampuan. KPKU memberi rawatan percuma kepada asnaf Negeri Sembilan, iaitu asnaf dari golongan fakir miskin. Beberapa program asnaf di sekitar Negeri Sembilan telah diadakan bermula Mac 2017 dengan bantuan Baitulmal dan MAINS bagi mencapai asnaf dikawasan yang jauh dari Nilai. Maybank Islamic pula telah menyumbang wang zakat mereka untuk membantu KPKU memberikan perkhidmatan kesihatan kepada para asnaf.
Bagi mereka yang kurang mampu tetapi bukan kategori asnaf, KPKU mempunyai ‘Tabung Tabarru’ untuk membantu jika memerlukan. Akan tetapi, penilaian segera akan dibuat supaya wang itu disalurkan dengan sebetulnya dan menurut matlamat asal penggunaannya. ‘Tabarru’ bermaksud derma ikhlas yang diberikan oleh satu pihak tanpa mengharapkan balasan. Selain pakar-pakar mewakafkan masa mereka di KPKU, mereka juga menyumbang 10% wang perkhidmatan mereka ke ‘Tabung Tabarru’. Setiap pesakit awam yang membayar untuk perkhidmatan kepakaran di sini akan turut menyumbang 10% dari bayaran tersebut ke ‘Tabung Tabarru’. Dalam erti kata lain, pesakit yang mendapatkan perkhidmatan pakar akan bersedekah ke tabung ini.
Begitu indahnya Islam di mana umatnya diajar untuk bersedekah dan ini membantu mewujudkan perasaan kasih sayang diantara satu sama lain. Malah wang dari ‘Tabung Tabarru’ ini juga boleh digunakan kepada pesakit bukan Islam yang tidak berkemampuan menurut penilaian tetapi memerlukan perkhidmatan kesihatan. Di dalam Al Quran banyak ayat yang menyentuh perihal sedekah. Antaranya; “Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Baqarah:254).
Antara kelebihan lain, KPKU juga menyediakan perkhidmatan ‘Klinik Pakar Mata Bergerak’ di sekitar Negeri Sembilan. Lori yang dilengkapkan bersama peralatan pemeriksaan mata telah menyumbang bakti dengan membawa pakar-pakar mata USIM ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan untuk membantu rakyat mendapat kemudahan pemeriksaan mata. Hasrat murni ini seperti yang dihajatkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, di mana beliau mahu rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. ‘Klinik Pakar Mata Bergerak’ ini juga mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri Sembilan dan turut dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meningkatkan status kesejahteraan dan kualiti hidup kurang komuniti yang kurang berkemampuan.
Selain itu, Pusat Hemodialysis USIM-MAINS dijangka akan beroperasi pada July 2018. Bangunan pusat ini telah di waqafkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pusat ini akan membantu para asnaf untuk mendapat khidmat Hemodialysis secara percuma dan juga terbuka kepada orang awam.
KPKU adalah satu usaha murni hasil kerjasama antara kerajaan negeri, sebuah universiti, badan-badan kerajaan dan badan korporat yang berkerjasama untuk kesejahteraan rakyat seperti yang dihajatkan oleh Menteri Besar. KPKU adalah entity waqaf pertama sepertinya di Malaysia dan patut menjadi contoh bagi membantu golongan kurang bernasib baik untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik.