Alhamdulillah, bulan yang paling dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak kini bakal mengunjung tiba. Ramadhan adalah bahasa Arab yang membawa maksud “panas” ialah bulan yang ke-9 dan yang dianggap paling mulia dalam kalender umat Islam. Seperti bulan Islam yang lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari.
Sepanjang tempoh bulan Ramadhan ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa seperti yang jelas termaktub di dalam Al-Quran yang bermaksud “Wahai orang – orang yang beriman, telah difardhukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah: Ayat 183).
Bulan Ramadhan merupakan salah satu bulan Islam yang penting kerana ia adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan serta membawa ganjaran pahala yang besar buat umat Islam yang memenuhi bulan terbabit dengan segala amal ibadah serta mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Di dalam bulan ini juga pelbagai peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam seperti turunnya kitab suci umat Islam iaitu Al-Quran, pembukaan kota suci Mekah, serta kedatangan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.
Dengan segala keistimewaan yang terdapat di dalam bulan mulia ini, sudah pasti kedatangannya paling ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Antara intipati utama di bulan Ramadhan ialah umat Islam perlu berpuasa atau menahan diri mereka daripada makan dan minum dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Namun ramai diantara umat Islam yang terlepas pandang bahawa kedatangan bulan Ramadhan ini hakikatnya bukan sekadar menahan diri mereka daripada makan dan minum semata-mata.
Kalau kita lihat ayat Al-Quran seperti yang dinyatakan di atas walaupun ayat tersebut menyebut puasa secara umum, tetapi para Ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah puasa Ramadhan secara khasnya. Matlamat di sebalik puasa Ramadan telah disebut dalam ayat Al-Quran tersebut iaitu semoga kamu bertakwa, sekaligus menunjukkan bahawa matlamat utamanya bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga.
Hal ini turut dijelaskan dalam hadis-hadis yang sahih, antaranya Rasulullah SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya serta berbuat maksiat, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Al – Bukhari).
Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan segala perbuatan yang mengundang dosa, lagha dan rafats. Sekiranya seseorang mencemuh kamu terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.” (Sahih Riwayat Ibnu Khuzaimah). Dapat dilihat di sini, Rasulullah SAW sendiri telah menafikan bahawa puasa itu bukan hanya dengan menahan makan dan minum. Di samping menahan makan dan minum, Rasulullah SAW telah mengatakan bahawa puasa adalah dengan meninggalkan perkara yang boleh membawa kepada dosa, lagha dan rafats.
Dosa ialah melakukan perkara- perkara yang telah dilarang oleh Allah SWT seperti berjudi, mencuri, meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan lain- lain perkara kemungkaran. Rafats adalah perbuatan keji yang menjurus kepada lucah dan segala muqaddimah zina seperti zina mata, telinga, mulut, sentuhan, kaki, hati yang mana itu semua termasuk dalam erti kata rafats. Lagha adalah melakukan sebarang perbuatan yang tidak berfaedah atau yang sia-sia.
Seperti yang kita sedia maklum negara kita telah pun selesai melaksanakan proses Pilihanraya Umum Kali Ke-14 (PRU14) pada minggu yang lalu yang telah menyaksikan perubahan drastik terhadap landskap politik negara dengan tertubuhnya sebuah pentadbiran baru semenjak negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Sudah pasti seiring dengan perubahan drastik ini, ramai dikalangan kita yang gemar bercakap-cakap mengenai isu politik yang kadang-kadang boleh membawa kelalaian serta pergaduhan diantara sesama kita tanpa disedari. Sekiranya ini berlaku, ianya bukan sahaja akan menjejaskan segala ibadah di bulan Ramadhan malah akan turut menggugat kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri.
Isu politik merupakan satu isu yang sensitif kerana setiap daripada kita mempunyai pandangan yang berbeza mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan politik. Jika ada yang tersilap cakap mengenainya, ia boleh membawa kepada perkara buruk berlaku diluar jangkaan. Walaupun tidak menjadi satu kesalahan untuk kita membicarakan perkara yang berkaitan dengan politik, namun sebagai umat Islam tumpuan seharusnya diberikan terhadap kemuliaan bulan Ramadhan yang bakal tiba dengan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap segala ibadah yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh bulan Ramadhan itu sendiri. Proses pilihanraya sudah pun tamat, oleh itu adalah penting supaya umat Islam dalam negara dapat kembali bersatu serta memberi fokus terhadap segala ibadah yang perlu dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan. Umat Islam perlu menjaga segala perbuatan serta percakapan mereka pada setiap masa supaya ibadah puasa mereka tidak menjadi sia-sia sehingga menjejaskan kemuliaan bulan Ramadhan.
Semoga bulan Ramadhan kali ini membawa ganjaran pahala yang tinggi dan besar buat umat Islam keseluruhannya.