Dr. Nor Hamizah bt Ab Razak
Dr. Nor Hamizah bt Ab RazakPensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Secara umumnya, terdapat empat asas dalam perkembangan kanak-kanak iaitu kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, pertuturan dan sosial & emosi. Sosial & emosi adalah penyumbang kepada perkembangan psikologi kanak-kanak. Elemen sosial adalah merangkumi perhubungan, pergaulan serta sosialisasi bersama orang lain. Manakala, elemen emosi pula adalah keupayaan meluahkan perasaan serta kesedaran tentang diri, harga diri serta konsep diri.

Jika perkembangan sosial & emosi ini terganggu maka timbul isu-isu tingkah laku yang tidak sihat seperti masalah sosial dan juga insiden-insiden seperti bunuh diri. Masih ingat kah kita berkaitan dengan insiden bunuh diri yang melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun beberapa tahun lalu. Bagaimana kanak-kanak di usia tersebut boleh bertindak sedemikian?

Gangguan terhadap perkembangan sosial emosi mengundang kepada ketidakupayaan menguruskan tekanan, kebimbangan, stres, kecelaruan, kemurungan dan banyak lagi. Sangat menyedihkan, terdapat banyak insiden-insiden yang berakhir kemusnahan hidup kanak-kanak. Tidak kurang wujud juga kes-kes yang berakhir dengan tragedi.

Amat merisaukan, pandemik Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada orang dewasa malah turut dirasai oleh kanak-kanak. Perintah PKP yang telah dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak ini telah mewujudkan konflik terhadap emosi kanak-kanak. Penutupan sekolah, tidak boleh keluar rumah, tidak boleh bermain, tidak boleh berjumpa rakan adalah berlawanan dengan fitrah semula jadi kanak-kanak dan menggugat perkembangan sosial dan emosi mereka.

Tidak mustahil insiden-insiden menyayat hati mungkin boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga kita. Jangan ambil remeh. Cegah sebelum terlambat. Bagaimana?

1) Jelaskan tentang penjarakan sosial
Kanak-kanak mungkin tidak faham sebab mereka tidak dibenarkan keluar bermain bersama rakan. Terangkan kepada mereka bahawa keluarga harus mengikuti arahan. Penjarakan sosial bermaksud berada jauh daripada orang lain sehingga jangkitan Covid-19 dapat dikawal.

2) Berhati-hati berkongsi mengenai berita Covid-19
Perbincangan mengenai Covid-19 akan meningkatkan ketakutan dan kecemasan kepada kanak-kanak. Ketahuilah, kanak-kanak merasa risau dan bimbang akan keselamatan keluarga dan juga rakan-rakan. Kawal pendedahan television, internet atau sosial media yang menyampaikan maklumat penularan covid-19 kepada kanak-kanak. Informasi khusus untuk orang dewasa boleh menyebabkan kerisauan, kekeliruan pada kanak-kanak. Kongsi kan berita-berita yang sesuai dengan peringkat umur mereka sahaja. Anda perlu sering kali mengingatkan kanak-kanak bahawa keluarga mereka dalam keadaan selamat dan anda akan memastikan mereka selamat. Serlahkan suasana selamat melalui pelukan dan juga kata-kata positif.

3) Kekalkan rutin harian
Perlaksanaan rutin harian menyediakan kawalan, jangkaan, ketenangan dan juga keselesaan. Ia juga membantu kanak-kanak untuk menghormati keperluan ahli lain dengan tidak mengganggu atau membuat bising ketika ahli keluarga lain perlu menyelesaikan urusan secara maya.

4) Sering berhubung dengan keluarga atau rakan
Cari masa dan ruang untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dengan menghubungi keluarga atau rakan-rakan mereka melalui panggilan telefon atau panggilan video. Ini dapat mengurangkan jurang pemisahan sosial.

5) Bercakap mengenai perasaan
Kanak-kanak mungkin sedih dan kecewa apabila tidak dapat menghadiri acara sosial yang digemari seperti sambutan hari jadi. Tanyakan perasaan mereka dan tunjukkan bahawa anda faham. Benarkan kanak-kanak untuk memimpin perbincangan dan bukannya membuat andaian tentang bagaimana dia berfikir dan rasa.

6) Lakukan aktiviti bersama
Lakukan aktiviti bersama kanak-kanak dapat memberikan nilai dan tujuan kepada mereka. Ini dapat membantu mereka untuk mengatasi segala dengan perubahan rutin disebabkan Covid-19. Contohnya, lakukan aktiviti seperti membaca, mencipta muzik, memasak, melukis dan lain-lain. Galakkan mereka untuk tonjolkan kreativiti.

7) Urus kebimbangan anda
Tidak dinafikan pandemik sangat menguji masyarakat dari aspek kesihatan, kewangan dan juga mental. Penting untuk anda mencari masa untuk menguruskan kebimbangan anda terlebih dahulu sebelum meluangkan masa bersama kanak-kanak.

8) Kenali kesihatan mental kanak-kanak
Dengan sokongan ibu bapa, kebanyakan kanak-kanak dapat menguruskan psikologi mereka. Sesetengah kanak-kanak menunjukkan simptom seperti kerisauan, tekanan, kemurungan. Jika simptom ini berterusan sila dapatkan bantuan profesional. Di mana?

Antara pusat yang menyediakan perkhidmatan pengurusan psikologi adalah Sa’adah Center yang terletak di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM. Sa’adah Center menyediakan perkhidmatan bimbingan, kaunseling dan konsultasi berkaitan isu-isu dan aspek kesejahteraan kehidupan meliputi perkembangan individu, perkembangan kerjaya, perkembangan kanak-kanak dan remaja, perkembangan keluarga dan perkahwinan dan banyak lagi. Temujanji bersama pakar rujuk Sa’adah Centre boleh dibuat melalui https ://bit.ly/2OOYC33.

Kita belum menang. Cegah sebelum terlambat.