Tidak lama dahulu, sebuah laporan media dari Australia menggariskan peningkatan drastik dalam Islamofobia yang termasuklah penganiayaan, penghinaan di tempat awam, vandalisme terhadap institusi Islam, malah gangguan secara dalam talian yang kini dianggap sebagai “normal baharu”.
Sebagai contoh, sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober 2023, insiden Islamofobia di Australia dikatakan melonjak secara mendadak merangkumi perbuatan fizikal, kata-kata nista, dan serangan atas prinsip kepercayaan semakin kerap terjadi.
Di Malaysia pula, mesej kebimbangan telah disuarakan secara rasmi. Dalam Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lalu, kerajaan menyatakan Islamofobia bukan sahaja meningkat tetapi lebih menyedihkan telah menjadi “justifikasi” kepada serangan terhadap umat Islam di banyak negara.
Dengan insiden-insiden sedemikian, kita seharusnya tidak boleh tinggal diam. Kita harus melihat bahawa Islamofobia bukan sekadar istilah akademik, tetapi realiti yang menjejaskan kehidupan seharian umat Islam. Simbol keagamaan, perlakuan hubungan sosial, serta naratif media boleh melukakan dan membentuk persepsi palsu menerusi proses perkongsian maklumat dan pemahaman yang songsang.
Umumnya, perkataan Islamofobia merujuk kepada rasa takut, curiga dan prejudis terhadap umat Islam. Manakala istilah “radikal Islam” acap kali digunakan dalam liputan media antarabangsa apabila berlaku insiden keganasan, walhal, sebahagian besar umat Islam adalah penyumbang keamanan, kebajikan, dan pembangunan.
Di Malaysia, walaupun suasana umumnya harmoni, masih ada kesan Islamofobia dalam beberapa isu: tudung dan serban sering menjadi sasaran pandangan prejudis; perdebatan mengenai syariah dan agama kadang kala dilabel “radikal” tanpa rujukan kukuh; dan isu-isu kecil seperti kontroversi stokin bertulis “Allah” menunjukkan betapa sensitiviti agama masih mudah tercabar dalam konteks komersial atau sosial.
Dalam pada itu, kita juga harus faham bahawa radikalisme bukan eksklusif kepada Islam. Banyak ideologi agama dan bukan agama yang disalahgunakan untuk menjustifikasi tindakan kekerasan. Malangnya, dalam konteks ini, Islam sering dijadikan “kambing hitam” kerana persepsi awam dan liputan media yang tidak seimbang. Jika terorisnya ialah seorang Muslim, agama dihubung kait; jika pelakunya bukan Muslim, keadaan sering kali digambarkan sebagai masalah peribadi atau sosial, dan bukan agama.
Bercakap tentang peranan universiti, khususnya universiti Islam di Malaysia, mempunyai kedudukan unik dalam usaha menangkis Islamofobia dan memulihkan naratif yang benar. Antara peranan utama yang boleh dimainkan ialah:
- Pendidikan dan Kesedaran: Mengadakan kursus, seminar, dan dialog terbuka yang mengajar masyarakat tentang sejarah Islam, prinsip toleransi, kepelbagaian dalam kalangan umat Islam sendiri, dan bagaimana ekstremisme bukanlah representasi agama.
- Penyelidikan Berlandaskan Bukti: Kajian empirikal tentang Islamofobia yang sedang berlaku, impaknya terhadap kesejahteraan mental dan sosial umat Islam, serta mekanisme pencegahan. Universiti boleh menerajui penyelidikan ini supaya dasar dan media boleh dipandu oleh fakta, bukan hanya naratif yang emosional atau sensasi.
- Dialog Antara Agama dan Komuniti: Universiti Islam boleh menjadi platform untuk kolaborasi antara agama seperti dialog dengan bukan Islam, pertubuhan masyarakat sivil, dan media. Semua ini bagi membina pemahaman, mengurangkan prasangka, dan menekankan persamaan nilai insan.
- Latihan dan Kepemimpinan Mahasiswa: Mahasiswa dilatih bukan sahaja sebagai cendekiawan, tetapi sebagai duta kecil perpaduan. Aktiviti kemasyarakatan, debat awam, kelab interfaith boleh memberi pengalaman langsung yang membina.
Di sini, tidak keterlaluan jika kitab oleh melihat bahawa media perlu memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab iaitu memastikan liputan yang tepat, seimbang, dan bahasa yang sensitif. Kerajaan dan pihak berkuasa harus mewujudkan polisi inklusif yang melindungi semua warganegara daripada diskriminasi agama. Program kesedaran awam dan pendidikan moral di sekolah juga tidak boleh diabaikan.
Kesimpulannya, islamofobia bukan hanya isu antarabangsa yang jauh daripada kefahaman lokal dan Sejarah yang panjang: ia sudah berada di ambang Islam sebagai agama radikal perlu ditolak, dan diganti dengan naratif yang menonjolkan rahmah, toleransi, dan pemahaman. Dalam konteks ini, university-universiti Islam di Malaysia mempunyai peluang besar untuk memimpin perubahan ini.
Kita harus ambil tindakan sekarang bukan hanya dengan kata-kata, tapi melalui pendidikan, dialog, dan penyelidikan agar Islam benar-benar dihayati sebagai agama rahmat untuk semua.
Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
