Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam siri yang lepas, saya telah membuka topik perbincangan tentang pelaburan, pada siri kali ini dan seterusnya, saya akan mengupas lebih lanjut tentang topik pelaburan ini. Sebelum kita terus terjun membuat pelaburan, adalah lebih baik kita memahami falsafah, kaedah dan teknik untuk memastikan pelaburan yang kita lakukan, akan mendatang keuntungan kepada kita. Harus diingat bahawa setiap pelaburan, ada dua faktor yang utama, iaitu pulangan atau keuntungan, dan risiko atau kerugian. Justeru itu, pembaca harus memahami bahawa setiap pelaburan kita akan terdedah kepada risiko iaitu keberangkalian untuk kita mengalami kerugian, dan bukannya keuntungan semata-mata .

Sebagai contohnya, jika kita memandu sebuah kereta, kita akan menghadapi risiko untuk mengalami kemalangan. Jika kita hendak mengelak risiko tersebut secara terus, kita mungkin tidak mahu langsung memandu kenderaan dan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Walaubagaimanapun, risiko kemalangan menggunakan pengangkutan awam, masih tetap ada, sehinggalah kita jika masih mahu melarikan diri dari risiko kemalangan, kita berjalan kaki sahaja. Persoalannya, adakah kita masih tidak mempunyai risiko apabila berjalan kaki?

Justeru itu, apabila setiap perkara yang dilakukan mempunyai risiko tersendiri, maka di dalam pelaburan juga mempunyai risiko yang berbeza-beza, atau kebarangkalian untuk mengalami kerugian wang ringgit. Di sebab itu, kita perlu mendalami ilmu tentang pelaburan agar kita dapat mengurangkan risiko, dan memastikan kekayaan kita terus berkembang, dari masa ke semasa. Untuk menghilangkan risiko adalah agak mustahil, tetapi dengan ilmu, kita dapat meminimakannya.

Saya ingin menarik pembaca semua untuk memahami tentang falsafah kegagalan menurut perspektif pemikir barat dan kemudian memberikan sedikit pandangan berbeza tentang falsafah kejayaan di dalam konteks yang lebih komprehensif. Di dalam konteks pemikir barat ada 3 faktor utama, mengapa seseorang itu telah gagal untuk mencapai matlamat, samada dalam kerjaya, kekayaan dan kehidupan; seperti yang telah diutarakan oleh Napolean Hill, bapa kepada pemikir ekonomi moden, di dalm bukunya yang bertajuk “Think and Grow Rich”.

Faktor yang pertama ialah kegagalan di dalam berkomunikasi dengan orang lain. Ini adalah suatu faktor yang penting di dalam menempa kejayaan, iaitu kebolehan kita untuk bekerja dan berinteraksi, dengan orang lain. Jika kita tidak dapat berkomunikasi dengan baik maka kita akan mengalami kesusahan di dalam urusan harian kita. Ini memerlukan kita untuk merendahkan ego kita dan sentiasa berbudi bahasa dengan orang yang di sekililing kita. Pada asasnya kita perlu mengambilberat tentang orang disekililing kita, barulah mereka akan membantu kita untuk menempa kejayaan. Jika kita perlu mempelajari sesuatu ilmu pelaburan itu, jangan malu untuk mempelajari sesuatu ilmu itu.

Faktor kegagalan yang kedua ialah, cepat putus asa. Seseorang yang berjaya di dalam apa bidang termasuk pelaburan tidak akan cepat berputus asa, malahan akan terus mencuba dan mencuba, sehingga berjaya, jika ia telah mempercayai bahawa apa yang dilakukannya adalah suatu tindakan yang betul, berdasarkan kajian yang berlandaskan ilmu. Seseorang yang tewas akan cepat berputus asa, seseorang yang berjaya tidak akan pernah berputus asa. Kecekalan adalah amat penting di dalam sesuatu pelaburan.

Faktor yang ketiga ialah sikap yang suka bertangguh-tangguh, terutamanya di dalam membuat keputusan apabila sesuatu peluang berada di depan mata. Sebagai contohnya setiap kesusahan ada kesenangan, setiap krisis ada pertumbuhan dan setiap masalah ada penyelesaian. Walaubagaimanapun, jika kita tidak mengambil apa-apa tindakan dan hanya berpeluk tubuh, maka kita sebenarnya menuju kegagalan. Justeru itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk mengambil keputusan yang cepat dan mengambil tindakan apabila peluang muncul. Sebagai contohnya, semasa krisis ekonomi pada tahun 1998 dan 2008, berapa ramai yang mengambil peluang dan berapa ramai yang hanya melihat peluang tanpa mengambil apa-apa tindakan. Apakah sebab anda tidak mengambil tindakan? Adakah disebabkan kekurangan ilmu? Adkah disebabkan ketakutan untuk membuat keputusan yang cepat. Adakah anda terlalu bergantungt kepada orang lain seperti isteri, ibu-bapa, rakan-rakan untuk membuat keputusan?

Ini adalah 3 faktor utama kepada kegagalan seseorang individu berdasarkan Napolean Hill. Walaubagaimanapun, pada pandangan saya di dalam konteks budaya kita dan agama kita, kejayaan bukan hanya diukur kepada aspek material sahaja, malahan kejayaan dan kegagalan seseorang individu itu tertakluk kepada kepada kejayaan dunia dan akhirat, dan kejayaan yang kekal abadi adalah kejayaan akhirat. Justeru itu, keseimbangan di dalam kedua dua aspek ini haruslah dititik beratkan untuk memastikan kita adalah orang yang berjaya. Falsafah ini perlu digunakan oleh pelabur-pelabur yang saya kupas pada siri yang akan datang.