Apabila bercakap soal minat membaca dalam kalangan masyarakat, kita dapat membayangkan beberapa negara yang terkenal dengan rakyatnya yang suka membaca. Kajian John Miller iaitu presiden Central Connecticut State University di New Britain misalnya mendapati Finland adalah negara yang mempunyai minat membaca tertinggi, diikuti dengan Norway, Iceland, Denmark dan Sweden.
Satu kajian lain pula oleh syarikat e-perdagangan Picodi yang mengkaji 7800 responden dari 41 negara mendapati rakyat Malaysia memang gemar membeli buku, malah antara yang tertinggi di dunia iaitu 76 peratus, tetapi minat membaca yang direkodkan tidak begitu tinggi. Daripada 76 peratus itu, rakyat Malaysia didapati gemar membaca fiksyen dengan jenayah dan unsur romantik sebagai elemen utama. Namun, Malaysia tidak tersenarai sebagai salah satu daripada 30 negara yang dikategorikan gemar membaca.
Maka apa maksudnya yang perlu difahami kita semua? Bagus banyak membeli buku tetapi perlu juga diteliti sama ada dibaca dan apakah buku yang dibaca. Tidak salah membaca fiksyen, tetapi perlu seimbang apa yang dibaca agar dapat menyegarkan minda sesuai dengan perubahan zaman yang memerlukan pemikiran kritis, mempersoal dan berhujah, berinovasi serta memahami sejarah lepas dan belajar daripadanya. Semua ini, kita dapat dengan membaca.
Maka tidak hairan pelbagai program dijalankan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan minat dan seterusnya membudayakan “membaca”. Program Read@Uni misalnya dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Y.Bhg Dr. Maszlee Malik pada 2018 dengan hasrat meningkatkan minat dan jumlah bacaan khusus dalam kalangan warga universiti. Namun, minat membaca yang dimaksudkan tidak terhad kepada pelajar universiti sahaja, tetapi merangkumi komuniti berdekatan universiti-universiti di negara ini.
Tindakan ini adalah langkah penting dan selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO. Sungguhpun ada yang mempersoalkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah, ia boleh dilihat sebagai cabaran untuk kita semua terutama dari segi galakan psikologi-meningkatkan aktiviti membaca secara aktif dan progresif bagi memastikan pengiktirafan ini tidak hanya pada nama.
Kempen-kempen lain pula seperti kempen #MalaysiaMembaca selari dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan tahun 2021 hingga 2030 dengan sasaran menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.
Namun, kempen-kempen seperti ini akan tinggal kempen jika tidak diambil perhatian terutama kepada pihak-pihak berkepentingan, selain masyarakat massa itu sendiri. Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya yang terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan melihat membudayakan aktiviti membaca adalah fungsi sesebuah perpustakaan, maka ia perlu dikongsikan kepada masyarakat seluruhnya.
Untuk itu, perpustakaan USIM mengambil langkah mudah tetapi berimpak, dengan membuka perpustakaannya yang terhad kepada pelajar USIM sebelum ini, kepada orang ramai sejak Oktober 2018. Orang ramai dibenarkan untuk menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan di perpustakaan seperti ruang bacaan yang boleh menempatkan lebih 1500 orang dalam satu-satu masa.
Lebih mengujakan, pembaca juga boleh merujuk dan membaca lebih 100 ribu naskah bahan bacaan yang ada di perpustakaan. Pelbagai ilmu boleh ditimba yang terdiri daripada pelbagai jenis bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal dan akhbar. Koleksi bahan bacaan yang ada juga merentasi subjek seperti Al-Quran, hadis, sejarah Islam, fikah, psikologi, ekonomi, undang-undang, syariah, fatwa, sains dan teknologi, hahasa dan komputer. Selain bahan bacaan yang “berat” sifatnya, terdapat juga buku-buku motivasi, biografi, autobiografi, novel, kumpulan cerpen dan lain-lain untuk bacaan ringan.
Untuk menggalakkan minat membaca dari kecil, perpustakaan USIM tidak menghadkan umur pengunjung, dan kanak-kanak seawal lima tahun dibenarkan membaca dalam perpustakaan dengan pengawasan penjaga. Buat masa ini, pihak perpustakaan sedang dalam proses untuk membangunkan Ruang Santai untuk Kanak-kanak dan Remaja, yang akan menempatkan ruang bacaan dan koleksi yang khusus untuk kanak-kanak dan remaja. Masyarakat Nilai terutamanya perlu mengambil peluang ini untuk menimba ilmu dengan kemudahan selesa yang disediakan.
Selain itu, pihak perpustakaan turut menjalankan pelbagai aktiviti yang diadakan sebagai menyokong usaha menggalakkan masyarakat membaca sebagaimana inisiatif yang dijalankan oleh perpustakaan-perpustakaan lain. Aktiviti yang mengimarahkan perpustakaan amat dinantikan bukan sahaja oleh orang ramai, tetapi juga warga perpustakaan sendiri kerana memberi peluang mereka berkongsi usaha dan keistimewaan perpustakaan mereka dengan orang ramai. Begitu tinggi sekali nilai ilmu yang diperjuangkan oleh para pustakawan, dan sebagai penerima perkhidmatan, kita imarahkanlah perpustakaan berdekatan agar usaha memupuk minat membaca menjadi sesuatu yang nyata, tidak sia-sia, dinikmati secara bersama dan kekal berjiwa.