Prof. Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ Taib
Prof. Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ TaibPengarah,Pusat Kerjaya dan Alumni

Agenda 7 Tujahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2026 yang disampaikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, menggariskan kepentingan strategik alumni sebagai rakan pembangunan universiti dan ejen penyebaran maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat. Antara fokus utama agenda ini ialah usaha memperteguhkan hubungan berterusan dan bermakna antara alumni dan alma mater, selaras dengan keperluan ekosistem pendidikan tinggi yang dinamik dan mampan.

Menyahut aspirasi ini, Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) USIM terus komited merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang selari dengan Agenda 7 Tujahan KPT 2026 bagi memastikan penglibatan alumni dapat dimanfaatkan secara optimum demi pembangunan universiti dan negara. Keempat-empat teras ini menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan program alumni oleh PUSAKA USIM.

Seiring dengan teras pertama Agenda 7 Tujahan KPT 2026, PUSAKA USIM menganjurkan Majlis Iftar Alumni USIM dan Majlis Rumah Terbuka Raya Alumni @ USIM secara tahunan. Program ini menjadi platform penting untuk Mengukuhkan hubungan silaturahim antara alumni dan warga universiti, mewujudkan jaringan kerjasama jangka panjang antara alumni dan USIM serta menyemai rasa kebersamaan serta tanggungjawab alumni terhadap alma mater.

Sebagai menyahut teras kedua Agenda 7 Tujahan KPT 2026, PUSAKA USIM secara aktif merancang dan melaksanakan Program Alumni Back To Campus seperti Majlis Hi-Tea Alumni, Karnival Mega Alumni, Karnival Kerjaya dan sebagainya. Program ini membuka ruang kepada alumni untuk kembali ke kampus bagi berkongsi pengalaman kerjaya dan realiti industri, menyampaikan kepakaran profesional dalam bidang masing-masing, memberi bimbingan, motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa dan secara tidak langsung berperanan dalam pembangunan modal insan dan peningkatan kebolehpasaran graduan.

Selaras dengan teras ketiga Agenda 7 Tujahan KPT 2026, PUSAKA USIM menggalakkan penglibatan aktif alumni dalam pelbagai bentuk sumbangan, termasuk, perkongsian kepakaran dan pengalaman profesional, penglibatan dalam program kebolehpasaran graduan dan pembangunan kerjaya, sokongan kewangan dan penajaan program pembangunan universiti, menjadi ikon teladan dan mentor kepada mahasiswa. Usaha ini memastikan alumni bukan sekadar pemerhati, tetapi menjadi rakan strategik dalam memacu kecemerlangan

Bagi merealisasikan teras keempat Agenda 7 Tujahan KPT 2026, PUSAKA USIM memperkasa Chapter Alumni USIM secara menyeluruh sebagai jaringan rasmi alumni yang berperanan sebagai Rakan KPT. Melalui chapter ini, alumni berfungsi sebagai agen penyampai maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat, duta USIM dalam mempromosikan imej dan pencapaian universitI, penghubung strategik antara universiti, industri dan komuniti. Inisiatif lain seperti program Jejak Alumni USIM juga dilihat mampu memperkasa jaringan dan kebajikan dalam menyantuni alumni melalui pelbagai program seperti lawatan ke syarikat usahawan alumni, dan aktiviti kebajikan.

Kesimpulannya, pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh PUSAKA USIM jelas mencerminkan kesungguhan universiti dalam menyahut Agenda 7 Tujahan KPT 2026 seperti yang disampaikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Alumni bukan sekadar bekas pelajar, tetapi merupakan aset strategik, rakan pembangunan dan agen perubahan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.