Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowPensyarah Fakulti Syariah & Undang–Undang

Tahun baru 2018 sudah pun bermula. Sudah pasti semua organisasi khususnya pihak majikan kini sedang sibuk merangka sasaran kerja masing masing-masing melalui sistem Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI) organisasi mereka bagi memenuhi sasaran kerja sepanjang tahun 2018 ini.

KPI adalah satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan ditempat kerja. Penggunaan KPI adalah penting pada masa kini. Banyak organisasi baik di sektor awam mahupun di sektor swasta dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan pengunaan KPI berkenaan dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti serta program yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa tertentu.

Secara umumnya penggunaan KPI dalam pengukuran prestasi sesebuah organisasi dapat difokuskan kepada tiga perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju sesebuah organisasi, memberi tumpuan terhadap bidang–bidang utama kepada pihak berkepentingan serta menilai tahap prestasi yang telah disasarkan.

Walaupun penggunaan KPI dilihat dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, KPI berkenaan haruslah dirangka dengan profesional dan bijak mengikut realiti dan kesesuaian organisasi tersebut. Dalam ayat pendek, KPI terbabit perlulah realistik atau berpijak di bumi yang nyata. Tidak dapat dinafikan setiap organisasi mempunyai objektif serta matlamat yang berbeza. Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan atau suasana organisasi, ia dikhuatiri akan melahirkan persekitaran pekerjaan yang dipenuhi tekanan dan stres. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum merangka sesebuah KPI yang realistik seperti dengan mengambil kira faktor jumlah tenaga pekerja serta pakar yang dimiliki dan faktor dana kewangan yang ada di organisasi yang terlibat. Kesemua faktor yang dinyatakan adalah penting untuk diambil kira oleh pihak pengurusan sebelum merangka sesebuah KPI untuk dilaksanakan setiap tahun.

Setiap organisasi tidak boleh menerima pakai KPI dari tempat lain untuk dilaksanakan di tempat mereka atas faktor perbezaan faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan di atas. Sebarang perlaksanaan KPI yang tidak realistik perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan kewujudan tekanan atau masalah stres dikalangan para pekerja organisasi yang terlibat. Jika tiada langkah proaktif atau pencegahan diambil diperingkat awal, pelbagai kesan atau impak negatif yang boleh berlaku terutamanya dari sudut kesihatan pekerja seperti darah tinggi, kemurungan, tekanan perasaan, masalah jantung serta kematian.

Tekanan dan stres yang berlaku juga boleh menjejaskan kehidupan peribadi pekerja yang terlibat. Ia boleh menjejaskan produktiviti seseorang individu itu serta memberi impak terhadap produktiviti sesebuah organisasi yang terlibat. Tekanan yang gagal dikendali dengan baik akibat daripada perlaksanaan KPI yang tidak realistik itu juga akan menjejaskan reputasi sesebuah organisasi buat tempoh jangka masa panjang. Akhirnya semua pihak akan menerima impak akibat kegagalan mereka membendung isu tekanan yang berlaku akibat daripada perlaksanaan KPI yang tidak realistik serta mustahil untuk dipenuhi.