Inovasi menjana kemajuan sesebuah negara dan tamadun, inovasi melahirkan golongan cendikiawan sejak zaman Rasulullah, kemudian tercetusnya Revolusi Industri Eropah. Apa yang dikesali, inovasi turut menyumbang kepada kemusnahan kepada manusia sejagat dan alam sekitar jika tidak terdapat mekanisma kawalan dan pemantauan yang sepatutnya. Semangat berinovasi sangat digalakkan apabila melihat kepada sumbangan impak positif kepada perkembangan kemajuan sesebuah tamadun dan negara dalam konteks moden. Namun, suatu mekanisma kawalan atau garispanduan perlu diberi penekanan bagi memastikan keharmonian sejagat daripada cetusan inovasi yang dihasilkan. Tradisi sesebuah masyarakat merupakan salah satu panduan yang boleh ditelusuri bagi membendung inovasi yang menjurus kepada kemusnahan sejagat yang jelas semata-mata untuk kepentingan diri sendiri atau sesuatu pihak. Kesedaran melalui Pendidikan kepada memelihara tradisi yang baik, yang memberi manfaat dan melahirkan masyarakat beretika perlu menjadi agenda utama dalam usaha membendung gejala inovasi negatif. Jika tradisi dipelihara, inovasi membara pasti impak kemajuan adalah harmoni dan mapan.
Berdasarkan Kamus Dewan edisi Keempat tradisi bermaksud sesuatu kebiasaan adat, kepercayaan dan lain-lain yang kekal turun-temurun, atau sesuatu yang menjasi amalan dan sebati dengan sesuatu masyarakat (golongan, kumpulan, dan sebagainya). Sebagai contoh, dalam Islam, kajian Sains adalah salah satu cabang ilmu Allah maka sebarang kajian, pemerhatian, analisis dan pelaporan adalah berlandaskan prinsip-prinsip syariat Islam. Inovasi pula bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yang baru juga boleh dimaksudkan sebagai perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan, sesuatu yang baru. Sebagai contoh, bagi memastikan perkembangan teknologi sentiasa terkehadapan.
Dunia menyaksikan kemajuan yang berpaksikan kepada lambakan inovasi-inovasi yang lahir daripada idea dan pemikiran manusia diolah sedemikian rupa supaya menjadi benih manfaat kepada manusia sejagat. Tidak kiralah skala kecil ataupun besar, manusia akan terus berinovasi dan berkarya untuk menyumbang kepada kemajuan yang bersifat dinamik serta menempatkan masyarakat sekitarnya sebagai tidak ketinggalan zaman. Golongan ini dapat dikategorikan kepada dua golongan inovator iaitu golongan yang gelojoh dan lahap berkarya untuk mengejar keduniaan semata-mata atau dengan kata lain demi kepentingan dunia materialistik. Namun masih ada golongan kedua iaitu yang sebaliknya berinovasi demi memanfaatkan masyarakat setempat seterusnya global. Bagi golongan ini, hasil inovasi yang dijana adalah sebagai ganjaran atau bonus sahaja untuknya. Tetapi yang lebih pasti, matlamat yang lebih utama bagi golongan kedua ini adalah sumbangan inovasi yang mereka hasilkan berjaya memberi manfaat kepada manusia sejagat tanpa mengira usia dan taraf ekonomi untuk menjadikan kehidupan mereka lebih mudah. Semangat inovasi yang membara ini perlu melihat kepada tradisi masyarakat sebelumnya yang dapat menjadi kawalan serta penghalang kepada output yang menghasilkan impak negatif berbanding positif.
Tidak dinafikan, revolusi industri adalah contoh dimana inovasi merupakan tonggak utama agen perubahan ke arah dunia yang lebih maju dan moden namun, kesan negatif inovasi-inovasi yang dilaksanakan perlu di selidiki. Disinilah tradisi memainkan peranan mewujudkan tapisan semulajadi kepada manusia dalam berinovasi.
Sejarah memperlihatkan perkembangan revolusi Industri sekitar tahun 1760-1830 dengan terhasilnya kuasa enjin stim yang dapat menggerakkan mesin termasuklah pembuatan keretapi berenjin stim. Dengan kuasa enjin stim ini produksi hasil perindustrian dilipatgandakan, menyaksikan perkembangan sistem pengangkutan dan menjadikan urusan kehidupan manusia lebih moden dan mudah. Revolusi perindustrian kedua berlaku sekitar 1870-1914, menyaksikan kuasa stim beralih kepada kuasa elektrik yang mengubah corak produksi serta merancakkan lagi keluaran industri. Rentetan dari penggunaan meluas kuasa elektrik maka terciptanya komputer melahirkan revolusi ketiga menyaksikan penggunaan teknologi maklumat kepada automasi pengeluaran. Kini pada abad ke-21 muncul revolusi industri keempat iaitu Internet of Things (IoT) yang akan diperluaskan implementasinya bukan sahaja ke dunia industri berasaskan perniagaan malah bakal digunakan dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia. Kesan revolusi ini selain daripada kemajuan, wujud kesan negative yang sedikit banyak menghilangkan norma-norma kehidupan manusia. Sebagai contoh, dengan teknologi internet, dunia tanpa batasan tanpa tapisan akan menyebabkan golongan tidak bertanggungjawab melakukan penipuan, kelakuan tidak bermoral dan pelbagai lagi jenayah siber yang wujud seiring dengan revolusi dan inovasi.
Bertitik tolak daripada revolusi ini yang jelas berkesinambungan dan tiada pengakhirannya, bersifat dinamik maka baik dan buruk inovasi perlu diperhalusi dengan kawalan amalan tradisi yang baik. Fenomena memelihara tradisi sebagai kawalan kepada ribuan cetusan inovasi manusia ini perlu ditularkan supaya keharmonian sejagat dapat diperolehi, diperbaiki atau dikekalkan.
Dari perspektif Islam, inovasi perlu terarah dimana perlu ada batasan atau had yang patuh syariat kerana semua inovasi tersebut adalah menjurus kepada ibadah kepada Allah, merupakan fardhu kifayah bagi seseorang muslim. Kemajuan dan kemudahan dalam gaya hidup masyarakat adalah terbentuk atau dicorakkan melalui inovasi para cendikiawan tidak kiralah acuan Barat mahupun Dunia Islam itu sendiri. Tradisi yang baik adalah pelengkap kepada perkembangan kemajuan berasaskan inovasi ini. Mufti Menk dalam salah satu siri ceramah di internet pada tahun 2016 menyatakan, Rasulullah telah bersabda bahawa untuk berada pada landasan yang benar dan terarah sebagai hamba Allah di muka bumi ini adalah terletak kepada dua panduan ini iaitu “My Book (the holy Quran) and My Tradition”.
Dengan memelihara tradisi, inovasi akan lebih terarah, mengikut syariat bagi seseorang Muslim manakala bagi yang bukan Muslim inovasi adalah berlandaskan kepada etika dan norma kehidupan manusia. Sekiranya ia dijadikan panduan bagi seluruh penginovasi di luar sana maka lambakan inovasi ini tidak lagi menjadi masalah untuk dirunsingkan malahan amat digalakkan kerana peranannya sebagai pemangkin serta katalis pembangunan dan kemajuan dunia. Akhirnya, menjadi harapan masyarakat sejagat agar tradisi terpelihara, inovasi membara.
Penulis merupakan pemenang pertandingan Penulisan Esei Kualiti (Kategori Kumpulan Pelaksana) bersempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi USIM 2017 anjuran Pusat Perancangan Korporat & Pengurusan Kualiti bertemakan Tradisi Dipelihara Inovasi Membara.