Umum telah pun ketahui keputusan muktamad Presiden Donald J. Trump secara satu pihak mengiktiraf bandaraya Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota negara Israel pada malam Rabu yang lalu. Beliau juga telah bersetuju untuk memindahkan kedutaaan negaranya yang kini berada di Tel Aviv ke bandaraya Baitulmaqdis.
Tindakan terbaru yang diambil oleh Presiden Trump ini boleh dianggap tindakan yang paling bodoh dalam sejarah pentadbiran Amerika Syarikat khusus yang berkaitan dengan konflik antara masyarakat Palestin dan Israel semenjak penubuhan haram negara Israel pada tahun 1948. Tindakannya juga bukan sahaja akan menjadikan konflik antara Palestin dan Israel bertambah buruk malah turut akan mengundang perasaan tidak puas hati dari kalangan umat Islam diserata dunia termasuk di Malaysia. Tindakannya juga akan menyebabkan segala usaha peperangan terhadap keganasan menjadi bertambah sukar kerana pihak militan dan penganas akan menggunakan isu ini sebagai alasan untuk melakukan pelbagai jenis keganasan serta pada masa yang sama memudahkan usaha mereka untuk menyebarkan segala pengaruh militan serta keganasan ke serata dunia.
Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan maruah serta masa depan umat Islam bukan sahaja di Palestin malah dari serata dunia termasuk di Malaysia.
Perlu diketahui umum, bandaraya Baitulmaqdis adalah hak mutlak milik masyarakat Palestin buat sekian lama, ianya dirampas oleh rejim Israel selepas negara-negara Arab kalah teruk dalam peperangan enam hari melawan rejim Israel pada tahun 1967 yang lalu. Sehingga kini status bandaraya Baitulmaqdis masih belum dimuktamadkan lagi oleh mana-mana negara dunia selain Amerika Syarikat serta pihak pertubuhan antarabangsa yang bertauliah seperti pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia sebagai sebuah negara yang berpengaruh dikalangan negara-negara Islam serta diperingkat antarabangsa perlu menggunakan segala pengaruh yang ada untuk mematahkan rancangan untuk menjadikan bandaraya Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Sebarang pertelingkahan politik yang sedang sibuk dibuat pada masa kini perlu dikurangkan pada kadar minimum.
Pihak Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) perlu memainkan peranan mereka bagi melindungi masyakarat Palestin serta mempertahankan kota suci ketiga umat Islam terbabit daripada jatuh ke tangan Israel. Masa dan tenaga yang ada oleh kita semua mesti digunakan bagi mengagalkan rancangan terkini oleh Presiden Trump serta memaksa President Trump untuk menarik kembali pengistiharan berat sebelah yang telah dibuatnya Rabu yang lalu terhadap status bandaraya Baitulmaqdis.