Nilai 16 Okt – Dengan bertemakan “Inovasi:Kunci Ke Arah Kelestarian Ummah” Ekspo Inovasi Islam 2011 (i-Inova’11) pada kali ini menyaksikan sebanyak 95 pasukan menyertai program yang kini telah masuk tahun yang ke-dua setelah pertama kali diadakan pada tahun lalu.

Ekspo selama tiga hari yang bermula pada Jumaat lepas anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) ini adalah berbentuk pameran dan pertandingan bagi mengenengahkan produk Islam yang inovatif dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut penyelidikan tempatan dan luar negara.

Tujuan utama penganjuran i-Inova ini adalah untuk memperkenalkan inovasi dalam penciptaan produk Islam disamping  untuk memberi ruang, meningkatkan kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat untuk mengetahui dan memahami penggunaan dan penghasilan produk Islam terkini.

Dalam pada itu, ianya juga memberi peluang kepada para pensyarah, penyelidik dan para pelajar di IPT tempatan untuk mencungkil bakat dan potensi diri dalam pelbagai bidang. Melalui pendedahan seperti ini para pelajar di IPT berpeluang mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran yang diperolehi semasa belajar di universiti untuk mencipta inovasi demi pembangunan ummah.

i-Inova’11 kali ini mempertandingkan enam kategori yang terdiri daripada Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kejuruteraan, Alam Bina, Bioteknologi Perubatan dan Pergigian, Sains Sosial dan Kemasyarakatan serta Muamalat dan Kewangan.

Terbahagi kepada dua kategori, prasiswazah dan terbuka, i-Inova’11 menampilkan sebanyak 48 penyertaan untuk kategori terbuka dan 47 penyertaan untuk kategori prasiswazah.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Y.Bhg Dato’ Prof. Dr. Rujhan Bin Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Menurut rujhan, penganjuran i-INOVA’11 ini merupakan contoh terbaik di mana KPT amat menyokong penuh program inovasi di peringkat IPTA/IPTS.

“KPT memberikan sokongan padu atas usaha menjadikan inovasi dalam pendidikan tinggi Negara dan saya percaya, generasi yang ingin dibentuk pada masa hadapan, memerlukan generasi yang kreatif dan inovatif” Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri pengajian Tinggi Malaysia semalam.

UNIMAP (Kategori Prasiswazah) dengan produk mereka “Eco Twister SR” dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (Kategori Terbuka) dengan “Modul Atomm  1 & 2 ( Approach To Mathematics Module 1 & 2 ) With Power Point Presentation” berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan beserta sijil apabila hasil inovasi mereka berjaya memenangi Anugerah Alkhawarizmi.

Kejayaan mereka ini menjadi lebih manis lagi apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Islam i-INOVA’11. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil. Anugerah utama di dalam acara ini dinilai berdasarkan produk yang memberikan sumbangan yang besar kepada umat Islam secara khusunya dan masyarakat secara amnya serta mempunyai cirri-ciri inovasi dan praktikal.

Dalam pada itu, Universiti Malaya (Kategori terbuka) dengan inovasi mereka bertajuk “Fakih – A Quran Recitation Courseware For Children With  Special Needs” dan UTM, Johor (Kategori Prasiswazah) dengan “Easy Refillable Marker Pen With Portable Marker Pen Station” telah berjaya meraih Anugerah Ibnu Sina dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala iringan beserta sijil. Anugerah ini diberikan kepada peserta yang berjaya menonjolkan produk yang paling kreatif dan berinovasi di dalam i-INOVA’11 ini.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027