NILAI — Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan INSPIRE 2025: New Media Day, sebuah program akademik dan kreatif yang menghimpunkan pelajar Komunikasi Media Baharu bagi mempamerkan hasil karya serta pencapaian pembelajaran mereka dalam bidang media baharu.

Program yang berlangsung pada 16 dan 18 Disember 2025 ini melibatkan seramai 164 orang pelajar Tahun dua,tiga dan empat sekali gus mencerminkan pendekatan pembelajaran bersepadu merentas tahun pengajian yang diterapkan dalam Program Komunikasi Media Baharu.

INSPIRE 2025 merangkumi beberapa komponen utama termasuk FYP Exhibition, forum kesedaran Flotilla Talk: Break the Silence, Animation Showcase, New Media Design, serta INSPIRE INAQ (SULAM Showcase). Kesemua komponen ini bertujuan mempamerkan hasil pembelajaran, kemahiran teknikal, kreativiti serta kesedaran sosial pelajar dalam konteks komunikasi dan reka bentuk media baharu.

Pada 16 Disember 2025, program dimulakan dengan penganjuran FYP Exhibition yang menampilkan pembentangan dan pameran Projek Tahun Akhir (Final Year Project – FYP) oleh pelajar Tahun 4. Pameran ini diadakan di bawah seliaan Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid dan berfungsi sebagai platform akademik bagi pelajar mempersembahkan hasil penyelidikan, produksi media serta inovasi kreatif kepada warga universiti.

Siri program diteruskan pada 18 Disember 2025 dengan penganjuran forum Flotilla Talk: Break the Silence pada sesi pagi, yang turut berada di bawah seliaan Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid. Forum ini memberi fokus kepada isu Palestin dalam konteks kemajuan teknologi, selain menekankan peranan media baharu dalam membentuk kesedaran awam secara beretika dan bertanggungjawab.

Pada hari yang sama, turut diadakan Animation Showcase bagi mempamerkan hasil karya animasi pelajar Tahun 3 di bawah seliaan Dr. Norsimaa Mustaffa. Showcase ini mengetengahkan aspek kreativiti, penceritaan visual serta kemahiran teknikal pelajar dalam penghasilan kandungan animasi berasaskan mesej dan naratif sosial.

Tidak ketinggalan, INSPIRE 2025 turut melibatkan pelajar Tahun 2 Komunikasi Media Baharu menerusi segmen New Media Design yang berlangsung di MKU01, FKP. Program ini diselia oleh Dr. Hizral Tazzif, yang menyatakan rasa bangga terhadap tahap kreativiti dan keberanian pelajar Tahun 2 dalam mempamerkan hasil karya mereka, di samping berharap agar pelajar terus berani menonjolkan bakat di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Program INSPIRE 2025 diakhiri dengan INSPIRE INAQ, yang memaparkan video dan poster hasil pembelajaran khidmat komuniti oleh pelajar Tahun 4. Showcase ini dianjurkan di bawah seliaan Dr. Kartini Kamaruzzaman, selaras dengan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan masyarakat melalui medium media baharu.

Secara keseluruhannya, penganjuran INSPIRE 2025: New Media Day mencerminkan komitmen USIM dalam melahirkan graduan komunikasi dan reka bentuk media yang holistik, kreatif serta bertanggungjawab, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini