NILAI, 12 Feb 2017 – Seramai 64 pelajar berumur 15 hingga 17 tahun dari Islamic Studies Demonstration School (ISDS), Prince of Songkla University (PSU) berkampung di Kolej Permata Insan (KPI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menjayakan program Islamic Science Camp (ISC) 2017.
Program yang berlangsung selama seminggu bermula 5 hingga 12 Februari 2017 itu mendapat sambutan yang baik apabila semua aktiviti Berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Silang Budaya, Projek Filem Pendek, Stem, Rewang dan aktiviti riadah. Selain itu, setiap pelajar turut dibahagikan kepada buddy masing-masing.
Menurut Pengarah KPI Dr. Hajjah Nik Salida Suhaila Nik Saleh, antara objektif program ini adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar Islamic Studies Demonstration School, Prince of Songkla University mengenai teknik dan strategi pembelajaran yang berkesan termasuk pemikiran kritis dan kreatif, penyelesaian masalah dan penggunaan teknologi menggunakan kaedah pembezaan pembelajaran (differentiated learning).
Selain itu, ia juga membantu guru-guru Islamic Studies Demonstration School, Prince of Songkla University memahami ciri-ciri pelajar pintar berbakat dan cara pengajaran yang berkesan serta bersesuaian untuk mereka serta mengadakan perkongsian idea dan jaringan ilmu dalam kalangan pelajar.
“Penyediaan prasarana yang disediakan di KPI membolehkan pelajar mendapat pembelajaran yang lebih terkehadapan serta mencabar aras kesukaran yang sesuai dengan kemampuan mental pelajar. Kaedah pembelajaran yang berbentuk tumpuan pelajar, pembelajaran yang dipacu, ”experimental learing” dan ”problem based learning” membolehkan pelajar menjadi lebih kreatif, inovatif dan aktif serta mempunyai daya inkuiri yang tinggi dengan rangsangan minda untuk menerapkan eleman teknologi dalam pemikiran bercorak futuristik”, tambah Dr. Nik.
Menurut salah seorang pengiring ISDS PSU, Cikgu Ilham Zakariya, ini adalah kumpulan pertama dan program julung kalinya exchange program yang dijalankan oleh PSU.
“Kami mula mengenali USIM melalui satu perjanjian MoU yang dilaksana antara USIM dan PSU, dan turut tertarik dengan pembelajaran Sekolah di dalam kampus yang dianjurkan di USIM”.
“Kami berharap para pelajar dapat saling menimba pengalaman baru, mengenali budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia serta memperbaharui dan saling bertukar idea dan pendapat walaupun majoriti pelajar kita tidak fasih berbahasa Inggeris”, jelas Ilham.
Weishaan-Ismail Noipom,17,dari Pattani Thailand turut berkongsi pengalaman menarik ketika mengikuti program ini kerana semua kenalan dari KPI saling tolong-menolong dan peramah antara satu sama lain membuatkan beliau rasa selesa. Selain itu, para peserta turut didedahkan cara menghafaz al-quran kerana sebelum ini hanya membaca sahaja. Beliau turut berharap dapat menjadi salah seorang pelajar di USIM satu hari nanti.
Deeyana Muttasaewi,16, Yala Thailand, yang menyangkakan program ini bosan pada awalnya turut berasa gembira kerana dapat mengikuti program ini kerana selain dapat kawan baharu di Malaysia, beliau turut dapat menikmati keindahan dan suasana pemandangan yang cantik kerana di Thailand keadaan begitu sesak dan bising.
Manakala Rida Chema,16, Narathiwat Thailand, turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menyesuaikan diri dan bergaul dengan kawan baharu. Pada mulanya beliau adalah seorang yang pemalu dan tidak mesra, selepas mengikuti program ini dan pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti pembentangan dalam kumpulan beliau dapat memupuk keyakinan diri dan tidak berasa malu seperti sebelum ini.
Afiqah Che Endut, 15, Timbalan Yang Dipertua KPI merasakan program seperti ini wajar dan digalakkan diteruskan pada masa akan datang kerana selain menghubungkan silaturrahim antara Thailand dan Malaysia, ia turut memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris kerana mereka majoriti yang sertai program ini tidak fasih Bahasa Melayu.
“Kami berasa gembira kerana dapat menjadi tuan rumah dan menjalankan aktiviti bersama selain memperkenalkan KPI kepada orang luar”, tambah Afiqah.
Majlis perasmian program dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Dato Dr. Zulkiple Abd Ghani.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204