REMBAU – Aktiviti mendaki gunung kini menjadi antara aktiviti riadah yang menjadi kegemaran golongan remaja dan belia khususnya pelajar Universiti. Boleh dianggap sebagai aktiviti yang ekstrem kerana ia memerlukan stamina fizikal dan mental yang kuat, namun ia bukan penghalang kepada penggemarnya dan mereka yang baru berjinak-jinak untuk sertai tanpa mengira jantina.

Justeru itu, baru-baru ini Jawatankuasa Kebajikan Kolej Kediaman Siswa/i (JAKSA) Nilam Court Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan aktiviti Hike for Health ke Gunung Datuk, Rembau Negeri Sembilan. Disertai seramai 42 orang pelajar terdiri daripada pelajar Sarjana Muda dan Tamhidi (Asasi) USIM yang menginap di kolej berkenaan masing-masing iaitu 13 orang peserta lelaki dan 29 orang peserta perempuan.

“Gunung Datuk merupakan lokasi yang  dipilih untuk menjalankan aktiviti kami iaitu Hike for Health kerana gunung ini sememangnya sinonim kepada para penggemar aktiviti mendaki gunung. Mempunyai ketinggian sebanyak 2,900 kaki, ia ternyata menyajikan cabaran yang tersendiri untuk sampai ke puncaknya, tetapi kepuasaan melihat keindahan alam sepanjang laluan mendaki sukar digambarkan”

“Perjalanan kami ke Gunung Datuk dari kolej kediaman ke sana tidak mengambil masa lama iaitu dalam sejam perjalanan, bertolak kira-kira jam 8 pagi dan tiba di lokasi sekitar jam 9 pagi dengan menaiki bas Universiti” ujar Siti Nur Shahirah Salim selaku Exco Kebajikan JAKSA Nilam Court.

“Setelah selesai bersarapan dan mendengar taklimat dari urusetia, aktiviti mendaki bermula sekitar jam 9.45 pagi bersama dengan pendaki-pendaki luar yang turut sama. Bergerak dalam kumpulan dan sentiasa berhati-hati atas faktor muka bumi yang kadang-kala licin dan curam, akhirnya selepas hampir 5 jam 30 minit mendaki, sekitar jam 2.00 petang semua peserta berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Datuk. Walaupun letih tetapi semuanya gembira, semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan” tambahnya.

Menurut JAKSA Nilam Court, program ini telah berjaya merealisasikan objektif penganjurannya iaitu memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman bereksplorasi dan menambahkan tahap kesedaran untuk mengekalkan kelestarian alam semulajadi. Ia juga secara langsung memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada para peserta tentang aktiviti riadah mendaki gunung yang memberi pengalam berbeza ini.

 

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204